Popular Posts

Friday 14 November 2014

PENDEKATAN PEMBANGUNAN INSANIAH DALAM ISU PENDERAAN KANAK-KANAK


Oleh:
Nur Afifah Abu Hassan
MISDEV13, USM

PENGENALAN

Menerusi dalil al-Quran, Allah SWT berfirman:


وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
“Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar” (Surah al-Anfal, 8:28)

Berdasarkan ayat ini, anak-anak merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada setiap pasangan yang mendirikan bahtera perkahwinan. Inilah sebenarnya antara hikmah terbesar yang boleh didapati daripada tuntutan perkahwinan di sisi Islam iaitu mengembangkan keturunan anak Adam di muka bumi ini. Hikmah ini boleh didapati daripada hadis Nabi SAW di mana Nabi SAW menggalakkan perkahwinan sehingga mendapat anak atau zuriat yang ramai. Sabda Nabi SAW:  

تَزَوَّجُوا الْوَلُودَ الْوَدُودَ ، فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُم
“Kahwinilah wanita yang melahirkan anak ramai, dan yang memiliki kasih sayang yang tinggi, sesungguhnya aku berbangga dengan kamu (kerana umat yang ramai)”
(Hadis Riwayat Abu Daud 2050, An-Nasaei 6/65, Sahih Abu Daud 1789,
Sahih Ibn Hibban 9/4056, Hasan Sahih dalam Kitab Al-Irwa’ 1784)



Anak-anak merupakan permata, mutiara, pengikat kasih, penyubur cinta dan pelbagai tafsiran lagi bagi ibu bapa. Anak-anak juga menjadi antara bukti kasih sayang Allah SWT kepada hambanya agar tidak hidup berseorangan dan mempunyai lapisan keturunan dalam keluarga yang dibina. Menerusi dalil al-Quran daripada Surah al-Anfal ayat 28 tadi, Allah SWT menyifatkan anak-anak sama seperti harta benda yang mempunyai nilai yang cukup tinggi di sisi Allah SWT. Ada manusia yang kaya harta tetapi tiada zuriat, ada juga yang kaya anak-anak tetapi miskin harta. Keadaan ini menggambarkan nilai anak-anak yang begitu berharga dan merupakan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. pemberian zuriat oleh Allah SWT kepada manusia boleh jadi merupakan suatu nikmat atau sebagai ujian dan cabaran. Zuriat atau anak-anak merupakan nikmat kepada ibu bapa seperti mana hadis nabi:

“Apabila wafatnya manusia, maka terputus darinya amalannya (pahala) kecuali dari tiga perkara (iaitu) dari sedekah jariah (pahala yang mengalir), ilmu yang bermanfaat (kepada manusia lain yang masih hidup), atau anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepadanya”.
(HSR Muslim No. Hadis 4310)

Hadis ini menunjukkan bahawa, anak-anak soleh merupakan harta akhirat buat ibu bapa. Dengan kasih sayang dan pendidikan berkesan yang diberikan dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya selain kepada agama khususnya. Dengan demikian, banya ganjaran yang Allah SWT berikan baik kepada anak tersebut juga kepada pengorbanan ibu bapa yang amanah dengan nikmat yang Allah kurniakan ini.

Anak-anak atau zuriat juga boleh jadi menjadi suatu ujian kepada manusia. Walau bagaimanapun, ujian ini bukanlah menunjukkan anak tersebut sebagai beban atau suatu kelemahan kepada ibu bapa, tetapi sebenarnya sebagai ujian ke arah mendapat reda Allah SWT. Sebagaimana hadis Nabi SAW

“Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanya menyahudikannya, atau menasranikannya, atau memajusikannya, sebagaimana haiwan melahirkan (mengeluarkan) haiwan, adakah kamu lihat padanya sebarang kecacatan (kekurangan/kelainan)”
(HR Bukhari No. Hadis 1296, Muslim No. Hadis 6828)

Menerusi hadis tersebut, membuktikan bahawa peranan ibu bapa amat besar dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. Sama ada dibesarkan untuk menjadi anak yang soleh dan solehah atau sebaliknya. Melihat kepada nilai dan hikmah perkembangan zuriat di sisi Islam, muncul persoalan mengenai sejauh mana manusia memberi pengiktirafan dan penilaian kepada anak-anak mereka. Adakah kehadiran anak atau zuriat ini menjadi suatu kurniaan ataupun menjadi beban yang amat rendah sekali nilai kewujudannya?
 
Persoalan ini muncul, rentetan daripada lambakan isu-isu penderaan kanak-kanak yang semakin berleluasa kini. Sebagai contoh, baru-baru ini negara dikejutkan dengan kisah menyayat hati seorang remaja OKU Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dikurung dan kelaparan oleh ibunya sendiri. Rata-rata masyarakat amat menyelar tindakan ibunya kerana mengabaikan anaknya sedemikian rupa.  Begitu juga dengan kes kematian adik Muhammad Aqil Mustaqim Rushdy, 6 tahun akibat cedera parah dan melecur teruk dipercayai dipukul ibunya tanpa henti. Menerusi kedua-dua kisah ini menunjukkan bahawa masyarakat atau golongan ibu bapa kini mudah sekali menzalimi dan menunjukkan kekerasan kepada anak-anak mereka bertentangan dengan garis panduan yang diberikan oleh Islam iaitu untuk menyayangi, mengasihi, mensyukuri, mendidik dan membesarkan dengan penuh kasih sayang, ihsan dan berhikmah. Banyak lagi kes-kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan termasuklah juga yang melibatkan pengasuh dan pusat-pusat jagaan kanak-kanak yang memukul, mengherdik, mencederakan golongan anak-anak sama ada golongan bayi, kanak-kanak mahupun remaja. Kes ini kian menular dan menjadi semakin parah apabila turut melibatkan kes-kes penderaan hingga membawa kepada kematian.

Isunya mengapa hal ini berlaku? Apakah puncanya? Siapakah pelakunya dan mengapa memilih untuk mendera anak-anak yang tidak berdosa ini ?

Menjawab kepada isu dan persoalan-persoalan ini, risalah ini disediakan bagi mengupas isu penderaan kanak-kanak ini dari sudut Islam secara umumnya dan dari sudut pembangunan insaniah secara khususnya. Bagaimanakah Islam mendepani isu ini dan bagaimanakah pendekatan pembangunan insaniah boleh menjadi panduan dan asas kefahaman akan hikmah di sebalik kejadian insan di muka bumi ini. Melalui risalah ini, perbincangan meliputi kefahaman umum tentang penderaan kanak-kanak, pembangunan insaniah dan kefahaman isu ini dari sudut pembangunan insaniah.

Risalah ini merupakan sebahagian daripada kerja kursus yang menjadi prasyarat pengijazahan bagi pelajar sarjana Pengurusan Pembangunan Islam melalui kursus pembangunan insaniah (SYW/SVW/SZW/502), Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM.

LATAR BELAKANG ISU

Isu penderaan kanak-kanak kian menular dalam kalangan masyarakat kini. Saban hari akhbar dan media sosial melaporkan pelbagai kes penderaan kanak-kanak yang berlaku hinggakan ada kes penderaan yang membawa kepada kematian. Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa setiap tahun sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan menjadi mangsa penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Walau bagaimanapun kes penderaan kanak-kanak ini masih kurang dilaporkan sama seperti mana-mana bahagian lain di dunia. Kes yang dilaporkan ini hanyalah sebahagian kecil berbanding dengan kes-kes penderaan yang tidak dilaporkan. [1]
Bagi membuktikan hujah ini, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan pada tahun 2008, 2780 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di negara ini dengan 952 kes melibatkan pengabaian kanak-kanak, 863 kes penderaan fizikal, 733 kes penderaan seksual dan 58 kes bayi ditinggalkan. Lebih mendukacitakan apabila rata-rata kes penderaan kanak-kanak ini dilaporkan dilakukan oleh ibu bapa mereka sendiri dengan 772 kes membabitkan ibu manakala 494 kes dilakukan oleh bapa mereka.
Isu penderaan kanak-kanak kini mula menjadi suatu viral dalam masyarakat kini bukan. Ia bukan lagi melibatkan kes-kes penderaan fizikal atau seksual yang membawa kepada kesan trauma yang berpanjangan terhadap kanak-kanak, tetapi kini lebih dahsyat lagi apabila kes-kes penderaan ini melibatkan kematian atau boleh dikatakan sebagai isu pembunuhan kanak-kanak mangsa dera.
Hujah ini turut disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila sebanyak 122 kes pembunuhan melibatkan golongan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dilaporkan di seluruh negara sejak lima tahun kebelakangan kini. Lebih mendukacitakan lagi apabila statistik PDRM memaparkan lebih 80 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan pembunuhan yang berunsurkan penderaan seksual. Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seramai 18 kanak-kanak menjadi mangsa kes bunuh pada 2009, diikuti 21 orang pada tahun 2010, 31 tahun pada tahun 2011, 26 orang pada tahun 2012, 24 orang pada tahun 2013 dan beberapa kes pada tahun ini (Utusan Online, 2014)[2].
Isu penderaan kanak-kanak bukan sahaja memberi kesan yang buruk pada aspek kesihatan, sosial, dan perundangan tetapi juga memberi kesan pada aspek agama. Pelbagai pendekatan boleh di cakna dalam memberi kefahaman akan isu ini. Antaranya, dari sudut kesihatan penderaan kanak-kanak memberi impak serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak, kesejahteraan serta perkembangan sepanjang kehidupan mereka, Dari sudut sosial pula penderaan kanak-kanak merupakan suatu fenomena keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat selain juga memberi kesan buruk terhadap pembabitan kanak-kanak mangsa penderaan ini dalam persekitaran luar di masa hadapan kelak. Seterusnya, dari sudut perundangan pula, wujud pelbagai akta atau kanun di peringkat antarabangsa seperti Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Malaysia juga menggariskan pelbagai bentuk akta bagi merealisasikan hak kanak-kanak, remaja dan wanita seperti Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991 dan Akta Kanak-kanak 2001. [3] Menerusi pendekatan ini, penderaan kanak-kanak mensabitkan pelbagai bentuk hukuman kepada pihak yang terbabit. Selanjutnya, dari sudut agama isu penderaan kanak-kanak memperlihatkan masalah keruntuhan akhlak, moral dan akidah dalam kalangan masyarakat. Ini kerana isu penderaan kanak-kanak ini adalah bertentangan dengan syariah Islam kerana berunsur kekejaman dan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.

KEFAHAMAN UMUM TENTANG ISU PENDERAAN KANAK-KANAK

Menerusi portal rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001. WHO Pasukan Pencegah dan Kecederaan Keganasan 1999 menggariskan penderaan kanak-kanak merujuk kepada penderaan secara fizikal dan emosi, penderaan seksual, kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak, termasuk sebarang bentuk eksploitasi atau komersial atau lain-lain eksploitasi, yang boleh atau telah menyebabkan kerosakan, kepada kesihatan kanak-kanak, dari segi 'survival', perkembangan atau harga diri. Ini adalah dalam konteks di mana pendera ada perhubungan tanggungjawab, kuasa atas kanak-kanak berkenaan atau pendera ialah seseorang yang dipercayai oleh kanak-kanak. [4]
v  Jenis-Jenis Penderaan Kanak-Kanak:
Berdasarkan portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penderaan Kanak-kanak secara amnya dibahagikan kepada empat jenis penderaan termasuk[5]:
    • Pengabaian
    • Penderaan fizikal
    • Penderaan seksual
    • Penderaan emosi
Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

Pengabaian merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian berlaku apabila kanak-kanak menginap di rumah di mana orang dewasa tidak memberi keperluan asas seperti fizikal (contohnya, kegagalan untuk menyediakan keperluan seperti makanan, tempat perlindungan, atau kekurangan pengawasan yang teliti), perubatan (contohnya, kegagalan untuk memberi rawatan atau perawatan kesihatan mental), pendidikan dan penyeliaan (contohnya, kegagalan untuk memberi pendidikan atau menawarkan perkhidmatan khas) dan emosi (contohnya kurang perhatian terhadap keperluan emosi kanak-kanak, kegagalan untuk menyediakan penjagaan psikologi, membenarkan kanak-kanak untuk minum alkohol atau menggunakan dadah. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.

Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu. Kecederaan fizikal (dari kecederaan ringan sehingga kecederaan teruk seperti patah atau kematian) disebabkan oleh tumbukan, tamparan, sepakan, gigitan, goncangan, campakkan, tikaman, tercekik, pukulan (menggunakan tangan, kayu, atau sebarang objek) ,atau apa-apa yang mencederakan kanak-kanak . Walau bagaimanpun, kes penderaan fizikal ini tidak selalunya ada niat untuk menyakitkan atau menyebabkan kecederaan. Ia mungkin disebabkan dari tujuan untuk mendisiplinkan yang berlebihan atau hukuman fizikal serta gangguan dari tangisan bayi dan ketidakupayaan untuk mengendalikannya. Buli, dan "shaken baby syndrome" juga merupakan sejenis penderaan fizikal. Semua keadaan ini dikenal pasti sebagai penderaan tidak kira sama ada penjaga berniat untuk mencederakan kanak-kanak atau tidak.
Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain. Ini termasuk mempengaruhi atau memaksa kanak-kanak dalam aktiviti seksual yang bertentangan dengan undang-undang. Juga eksploitasi komersial melalui pelacuran atau penghasilan gambar lucah

Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat. Penderaan jenis ini melibatkan pelbagai cara memperkecilkan seseorang (termasuk kaki buli di sekolah), tabiat suka mengenakan orang lain, memperkecil dan memalukan, menolak perawatan serta mengurung kanak-kanak di dalam almari gelap dan sebagainya.

v  Faktor-Faktor Berlakunya Kes Penderaan Kanak-Kanak

Beberapa justifikasi yang dapat dikenal pasti mengenai faktor-faktor berlakunya permasalahan ini. Menerusi blog rasmi Jabatan Peguam Malaysia, Akhmalina Mohammed selaku Timbalan Pendakwa Raya Melaka menyatakan antara faktor tersebut ialah, tekanan di tempat kerja bagi  ibu bapa yang bekerja serta beban kerja mereka. [6] Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak tersebut adalah merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul menerajang, mencucuk putung rokok dan sebagainya.

Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah ekonomi yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah ekonomi menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Ramai ibu bapa menjadi kurang waras akibat dari tekanan ekonomi ini. Ibu bapa sering melepaskan tekanan tersebut dengan memukul atau menyakiti  anak-anak tersebut.

Selain itu, krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar juga penyumbang kepada peningkatan kes penderaan ini. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.


Faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah ibu bapa yang kurangnya pendidikan agama.  Mereka mudah hilang pertimbangan kerana tidak memikirkan dosa dan pahala bahkan mereka merasakan penderaan bukan satu  kesalahan.

Menerusi perbincangan ini menunjukkan bahawa anak-anak menjadi mangsa ibu bapa melepaskan tekanan akan masalah yang dihadapi. Mereka menjadi alat ledakan emosi yang tidak terkawal ibu bapa dan masyarakat rentetan pelbagai bentuk tekanan hidup yang dihadapi. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan  kasih sayang dan perlindungan. Sepatutnya ibu bapa tersebut perlulah berfikir cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut bukannya dengan melepaskan tekanan pada anak-anak yang tidak berdosa ini.

PEMBANGUNAN INSANIAH

Berdasarkan kepada perbincangan umum mengenai isu dan amalan penderaan kanak-kanak dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat, secara kar umbinya penulis merasakan kecenderungan individu bertindak dalam isu-isu penderaan kanak-kanak ini adalah berpunca daripada kurangnya kefahaman tentang ilmu agama. Ini kerana, ilmu agama amat penting dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Sebagaimana perbincangan di awal penulisan risalah ini, menunjukkan Islam khususnya amat menghargai dan meletakkan pengiktirafan yang tinggi terhadap anak-anak atau zuriat. Anak-anak seharusnya dilayan dengan baik bukan dengan cara kekerasan hingga memudaratkan mereka. Islam juga begitu mencela perbuatan kejam yang melanggar syariat dan fitrah kejadian manusia. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)”(Sural Luqman, 31:17-18)

Masalah penderaan kanak-kanak ini sebenarnya berpunca daripada sahsiah atau akhlak individu yang rosak dan tidak berteraskan kepada iman dan nafsu yang kuat. Perbuatan sedemikian merupakan antara akhlak terkeji atau mazmumah yang dipandu oleh nafsu dan iman yang rendah. Kurangnya kekuatan iman dan nafsu menjadikan individu melakukan perbuatan-perbuatan yang salah di sisi agama termasuklah dalam isu ini. Sekiranya individu mempunyai iman yang tinggi dapat mengelakkan mereka berbuat demikian kerana sedar akan kemurkaan Allah SWT pada perkara-perkara mungkar dan menyalahi agama.

Oleh yang demikian, secara pokoknya isu ini dapat ditangani dengan kaedah menerapkan kefahaman tentang keagamaan dan kerohanian dalam diri mereka. Melalui penerapan kefahaman tentang iman, ilmu dan fitrah kejadian ini merupakan suatu pendekatan yang paling baik dan holistik bagi mengatasi pelbagai isu-isu sahsiah masyarakat dari akar umbi. Untuk itu, pendekatan pembangunan insaniah merupakan asas pengukuran yang boleh dijadikan panduan dalam melahirkan sahsiah yang baik dalam kalangan individu, ibu bapa dan masyarakat.

Pembangunan insaniah melibatkan pembangunan rohani, fizikal, emosi dan mental individu. Pembangunan insaniah menggariskan kefahaman mengenai membangunkan sahsiah atau akhlak individu dengan cara pengurusan sifat-sifat mahmudah dan mazmumah melalui konsep penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs). Bagi memahami akan konsep ini perlu kepada kefahaman tentang iman dan nafsu yang menjadi asas kepada perlakuan manusia sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Ø  Aspek Iman dan Nafsu dalam Pembentukan Sahsiah Terpuji

Aspek iman dan nafsu merupakan komponen kerohanian yang menjadi pemandu utama perlakuan manusia. perbuatan penderaan kanak-kanak secara dasarnya perlu difahami dari sudut ini kerana individu yang sanggup melakukan perbuatan tersebut merupakan mereka yang gagal mengawal nafsu dengan baik. Oleh sebab itu, mereka mudah untuk melakukan pelbagai kekerasan dan kekejaman kerana dipandu oleh nafsu jahat. Nafsu jahat ini terbentuk sekiranya tahap iman mereka adalah rendah. Untuk itu, perlu diberi kefahaman tentang iman dan nafsu kepada masyarakat agar mereka tahu kaedah sebenar yang sepatutnya digunakan dalam pembentuk persekitaran kehidupan yang disarankan oleh agama.

Muhammad Syukri Salleh (1985; 1990; 2002; 2003) terdapat tujuh peringkat nafsu yang perlu diketahui bagi memahami sejauh mana ia berfungsi dan memberi kesan kepada diri manusia. Peringkat yang paling bawah atau rendah sekali dikenali sebagai nafsu ammarah, diikuti nafsu lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radhiyyah, mardhiyyah dan peringkat nafsu yang paling tinggi dan mulia iaitu nafsu kamilah. Sekiranya manusia mempunyai tahap nafsu ammarah atau nafsu jahat ini akan menjadikan mereka mempunyai sifat penting diri, angkuh, tamak, serta pelbagai sifat-sifat negatif lain kerana tidak dihubungkan dengan rasa kehambaan kepada Allah SWT.

Peringkat-peringkat nafsu ini mempunyai hubungan yang erat dengan tahap iman. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), para ulama’ menyifatkan terdapat lima tahap iman yang mempunyai turun rendahnya iaitu iman taqlid, iman ilmu, iman ayan, iman haq dan iman haqiqah. Iman taqlid merupakan tahap iman yang paling rendah yang dikenali sebagai iman orang yang ikut-ikut tanpa ilmu. Seterusnya iman ilmu iaitu iman orang yang mempunyai ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmu yang dimiliki. Kedua-dua tahap ini dikategorikan sebagai iman rendah dan tidak mampu menjadi pemerintah diri. Diikuti iman ayan, iaitu iman yang mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu yang dimiliki. Bagi menjadikan iman sebagai pemerintah diri dan bukannya nafsu perlulah sekurang-kurangnya mempunyai tahap iman ini atau lebih baik lagi iman haq iaitu iman yang benar yang selalunya merupakan iman para malaikat dan iman haqiqat iaitu iman para nabi dan rasul. [7]

Seperti mana dinyatakan sebelum ini iman dan nafsu mempunyai perkaitan yang sangat rapat. Jika baik iman begitulah nafsunya dan sebaliknya. Jika iman berada pada tahap taqlid dan ilmu, maka nafsunya sudah pasti berada pada tahap yang rendah iaitu nafsu ammarah, lawwamah atau mulhamah. Sebaliknya jika imannya berada pada tahap yang tinggi iaitu iman ayan, haq dan haqiqah, sudah pasti nafsunya berada pada peringkat yang tinggi iaitu nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyyah atau kamilah.

Pada konteks isu penderaan kanak-kanak ini, golongan ibu bapa ini melakukan perbuatan tersebut kerana tuntutan nafsu serta iman yang rendah. Tahap iman dan nafsu yang rendah ini menanamkan akhlak yang buruk dalam diri mereka seperti kuat marah, angkuh, dan tidak tenteram hingga melihat anak sebagai objek atau boneka bagi melampiaskan nafsu kemarahan mereka pada suatu perkara yang lain. Oleh sebab itu, anak-anak menjadi mangsa kepada sahsiah buruk ibu bapa mereka. Hal ini dapat diatasi sekiranya ibu bapa ini kembali pada agama iaitu menjadikan iman sebagai paksi kekuatan insan. Dengan yang demikian, mereka dapat mengubah akhlak mazmumah yang dimiliki dengan menanamkan akhlak mahmudah dalam diri mereka. Secara ringkasnya, ibu bapa perlu menggantikan sifat marah, angkuh, sombong serta pelbagai sifat buruk lain dengan sifat-sifat yang terpuji seperti penuh kasih sayang, prihatin, bertanggungjawab, serta amanah dengan kurniaan zuriat yang dimiliki. Dengan itu, mereka akan sedar bahawa anak-anak bukan lagi menjadi beban kepada mereka sebaliknya merupakan amanah daripada Allah SWT untuk dikasihi, disayangi, dihormati serta dididik untuk menjadi insan yang berguna.


Ø  Pendekatan Tazkiyah al-Nafs

Nafsu dan iman boleh dikawal dan ditadbir menjadi baik dengan proses tazkiyah nafs atau penyucian jiwa seperti dengan berselawat, berzikir, mujahadah (berusaha untuk melakukan perkara yang baik) dan ikhlas kepada Allah SWT (Muhammad Syukri Salleh, 1985; 1990; 2003). Proses penyucian jiwa ini merupakan kaedah terbaik bagi membuang sifat-sifat mazmumah dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah dalam diri manusia ke arah melahirkan sahsiah yang baik.

Menurut Fadzila Azni Ahmad (2013:66), proses penyucian jiwa boleh dilakukan melalui tiga proses utama iaitu, bermula dengan proses Takhalli iaitu proses membuang sifat-sifat terkeji dalam diri. Seterusnya diikuti dengan proses Tahalli iatu proses mengisi jiwa dengan sifat-sifat terpuji. Menerusi disiplin dan mujahadah yang kuat dalam kedua-dua perkara tersebut maka akan wujudlah rasa kehambaan dalam diri individu yang dikenali sebagai Tajalli. [8] Menurut Muhammad Syukri Salleh (2002), melalui disiplin diri dan istiqamah yang kuat dalam proses tazkiyah al-nafs ini akhirnya akan membentuk sahsiah diri yang baik bukan sahaja sahsiah pada Allah SWT juga kepada manusia serta makhluk lain yang sekurang-kurangnya mempunyai iman ayyan dan nafsu mutmainnah sebagai paksi kekuatan jiwa. [9]

Walau bagaimanapun, proses pembentukan iman dan nafsu yang baik ini tidak akan berlaku sekiranya tidak disusuli dengan ilmu dan akal fikiran yang terbuka ke arah hidup bertuhan dan kembali kepada jalan yang diredai Allah SWT. Ini menggariskan, golongan ibu bapa misalnya perlu mempelajari asas-asas ilmu agama iaitu ilmu fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam kehidupan yang berkisar soal akidah, ibadah dan akhlak. Melalui pendekatan ilmu ini akan melahirkan pengetahuan tentang ilmu kerohanian atau keagamaan yang penting sebagai asas kehidupan.

Sekiranya masyarakat khususnya ibu bapa sedar akan hikmah kewujudan insan di muka bumi ini untuk taat dan patuh kepada perintah Allah SAW, sudah pasti mereka akan merasa takut untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syariat seperti penderaan kanak-kanak. Ini kerana Allah SWT mengeji perbuatan sedemikian dan menyediakan balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka. Sabda Nabi SAW:

“Sesungguhnya Allah SWT mewahyukan supaya kalian merendah diri, sehingga tidak ada orang berasa lebih tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada lainnya” (Ibn Abi Dunya dan Ibn Hibban) [10]

KESIMPULAN

Anak-anak merupakan amanah daripada Allah SWT. Ada manusia yang begitu menantikan kelahiran zuriat sebagai penyeri rumah tangga. Wajarkan kiranya anak-anak yang dikandungkan dan membesar dalam rahim dengan jerih perit, kemudian dilahirkan ke dunia ini akhirnya dipukul, ditendang, dirotan dan dibunuh tanpa belas ihsan hingga mengorbankan nyawa dan masa depan mereka. Jika dilihat pada isu semasa kini, masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja rata-ratanya disebabkan oleh mereka yang lahir daripada keluarga yang bermasalah. Melihat kepada keganasan dan kezaliman di depan mata, menjadikan mereka terdidik dengan persekitaran sedemikian hingga akhirnya membentuk akhlak yang buruk dalam diri mereka. “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Kasihani dan didiklah anak-anak seperti mana sayangnya Allah SWT memberi segala macam nikmat kepada manusia di muka bumi ini. Tidak cukup dengan itu, pelbagai lagi ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT di akhirat kelak bagi setiap perbuatan kebaikan manusia di muka bumi ini. Berpeganglah kepada iman dan nafsu yang kuat agar terlahir sahsiah diri yang cemerlang dalam diri insan. Gunalah pendekatan tazkiyah al-nafs serta ilmu agama sebagai perisai kehidupan. Mudah-mudahan, tergolong dalam golongan yang disediakan Allah SWT dengan ganjaran syurga di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

Kami berfirman, "Turunlah kamu semua dari syurga! Kemudian jika benar-benar datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa mengikuti petunjuk-Ku, tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati” (Surah al-Baqarah, 2:38)




[2] Diakses daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140201/lk_01/Trend-bunuh-kanak-kanak-serius,  14 November 2014
[4] Diakses dari http://agc-blog.agc.gov.my/agc-blog/?p=1135, 14 November 2014
[6] Diakses dari http://agc-blog.agc.gov.my/agc-blog/?p=1135, 14 November 2014
[7] Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn Bhd
[8] Fadzila Azni Ahmad (2013). Konsep Pengurusan Institusi Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[9] Muhammad Syukri Salleh (2002). Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
[10] Fadzila Azni Ahmad (2013). Konsep Pengurusan Institusi Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Muhammad Syukri Salleh. Falsafah Ilmu Pembangunan Berteraskan Islam: Beberapa Asas Kesepaduan. Pulau Pinang: Pusat Islam, Universiti Sains Malysia. 
Muhammad Syukri Salleh (2003). Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam: Konsep dan Pengkaedahan (Siri Syarahan Umum Pelantikan Profesor).Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. 


Tuesday 3 December 2013

Saya ingin belajar menulis, supaya tinta ini memberi manfaat kepada semua Muslim khususnya...

Pengurusan Emosi Menurut Islam
 
oleh: Nur Afifah Bt Abu Hassan
MISDEV13, USM

PENGENALAN

Adakah emosi memberi pengaruh terhadap tingkah laku? Mahupun adakah tingkahlaku mempengaruhi emosi seseorang? Sejauh mana Islam yang berteraskan Quran dan Sunnah memberi panduan dan bimbingan mengenai pengurusan emosi seseorang supaya sentiasa tingkah laku dan emosi yang terhasil bertepatan dengan syiar Islam dan seterusnya melahirkan tindakan yang sewajarnya. Persoalan-persoalan inilah sebenarnya yang mendorong penulis untuk mengkaji dan menulis untuk lebih mendasari pengurusan emosi ini mengikut kaedah Islam. Islam merupakan agama yang mulia disisi
Allah dan Islam merangkupi seluruh aspek kehidupan samada dari sudut fizikal, material, kognitif mahupun dari sudut emosi. Penulis akan memfokuskan penulisan ini berdasarkan kepada pendekatan tasawur Islam dalam membincangkan mengenai emosi dan kaedah pengurusannya. Emosi merupakan sebahagian daripada fitrah kejadian manusia dan manusia adalah ciptaan Allah taala. Untuk itu, adalah sangat penting untuk mendasari aspek emosi dan kaedah pengrusannya sepertimana yang telah diberi garis panduan di dalam Quran dan Sunnah yang merupakan sumber utama tasawur dan epsitemologi Islam.
 
Penulisan ini adalah bertujuan bagi memenuhi prasyarat tugasan bagi matapelajaran SIW5050 Tasawur Dan Epistemologi Islam. Perbincangan ini akan dimulakan dengan persoalan mengenai isu yang membawa kepada penulisan ini, definisi emosi menurut lazim dan Islam, pengurusan emosi menurut tasawur dan epistemologi Islam, analisis penulis dan kesimpulan. Perbincangan ini adalah dari perspektif tasawur Islam kerana ingin melihat sejauh mana Islam menekankan aspek emosi dan kaedah pengurusanya yang bersifat Islami serta bersumberkan kepada Quran dan Sunnah selain dapatan ulama’ yang merupakan sumber rujukan utama epistemologi Islam.

PERSOALAN YANG MENYUNTIK PENULISAN INI

Mengapa penulis memilih tajuk pengurusan emosi bagi penulisan akademik kali ini? Persoalan ini sebenarnya dapat dijawab melalui fenomena-fenomena alam yang berlaku kebelakangan ini. Masihkah anda ingat mengenai kes seorang pegawai kerajaan yang memukul isterinya di dalam lif di
hadapan anak-anak mereka, dan aksi beliau malang sekali dapat dirakamkan melalui rakamam CCTV lif tersebut.(1) Kemudian negara dikejutkan pula dengan salah laku seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang pemain bola sepak negara apabila beliau bertindak kasar dengan menengking seorang pegawal keselamatan tua di sebuah lapangan terbang terkemuka negara.(2) Juga baru-baru ini kes kematian seorang pegawai bank apabila ditembak mati oleh seorang pegawal keselamatan bank tersebut untuk tujuan merompak.(3)
 
 
Ketiga-tiga kejadian ini, menarik perhatian ramai yang rata-rata merakamkan rasa dukacita dan terkilan mengenai kelakuan tersebut dan tidak kurang juga yang terlalu beremosi memberi respon hingga mempamerkan betapa rendahnya nilai kemanusiaan mereka dalam menguruskan emosi mereka terhadap ketidakpuasan yang berlaku. Tidak salah sebenarnya untuk melahirkan ketidakpuasaan masing-masing tetapi perlu sedar cara dan etika sebenar dalam menanggani masalah tersebut bukan hanya menunjukkan kekerasan semata-mata. Penulis merasakan bukan sahaja pegawal keselamatan, pegawai kerajaan dan wanita tersebut yang perlu diberi kesedaran sivik malahan masyarakat secara keseluruhannya juga perlu dibasuh supaya mengikut budaya dan etika yang sepatutnya dalam menanggani hal emosi. Penulis memilih pengurusan emosi menurut Islam adalah kerana merasakan ia merupakan satu keperluan kepada seluruh manusia terutamanya Muslim kerana Islam terkenal dengan keindahan dan kesederhanaannya dalam pelbagai aspek kehidupan malahan masalah yang berlaku kebanyakannya melibatkan komuniti Melayu yang beragama Islam. Oleh itu, adalah menjadi satu sebab mengapa pendekatan Islam perlu diaplikasi terhadap isu-isu yang berkaitan.

EMOSI DAN ISLAM
Definisi Emosi Secara Lazim:

Perkataan emosi itu sendiri berasal daripada Greek, iaitu, “emovere” yang membawa maksud “untuk keluar”. Emosi memberi pengaruh kepada tingkah laku dan juga turut mengalami perubahan melalui tingkah laku. Contohnya, jika seseorang dalam keadaan marah, beliau mungkin akan bersikap kasar akan sesuatu kerana menzahirkan rasa amarah tersebut (perubahan tingkah laku). Dan sebaliknya pula apabila seseorang dimarahi, beliau akan merasa malu dan sedih (perubahan emosi). Keadaan ini menunjukkan emosi dan tingkah laku adalah sangat berkait rapat antara satu sama lain.(4) Keadaan ini diperjelaskan lagi melalui ilmu psikologi yang begitu eart hubungannya dengan aspek emosi, kognitif, tingkahlaku dan sebagainya.
 
Dalam istilah Psikologi, emosi merupakan bahasa dalaman seseorang yang berkait rapat dengan tindak balas (fizikal) daripada sensitiviti perasaan dalaman dan luaran (pergaulan sosial). Ia adalah suatu pergerakan dalam minda yang dikeluarkan oleh pengaruh luaran. Minda adalah pasif dan sentiasa menerima semua yang terlintas untuk mempengaruhinya. Sesuatu yang dibangkitkan melalui
minda samada dalam bentuk perasaan mahupun tingkahlaku merupakan emosi.(5) Emosi yang dizahirkan oleh manusia adalah satu bentuk tindakan yang memenuhi kepuasan diri individu berkenaan. Ia juga boleh dikatakan sebagai satu keadaan dimana, perasaan yang ditunjukkan pada proses fisiologi dan psikologi seseorang individu (Mohd Nazar Mohamad, 1991).(6) Ia merupakan satu set tindakbalas autonomik, viskeral dan komunikasi emosi seperti ekspresi muka, perkataan, tingkah laku dan isyarat yang dipamerkan oleh individu itu.(7) Emosi juga dapat difahami sebagai suatu ekspresi perasaan naluri yang kuat seperti sayang, gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Emosi merupakan kehebatan dan sensitiviti perasaan yang selalunya diluahkan dari dalam atau rohani kepada luaran iaitu melaui tingkah laku tertentu atau sebagai menyampaikan perasaan. Perasaan-perasaan yang kuat ini akan mempengaruhi tindak balas luaran sama ada pada perubahan fizikal yang terkawal seperti mimik muka dan tidak terkawal seperti badan berpeluh kerana ketakutan. Muhammad Uthman Najati (1993) dalam Fariza Md. Sham (2005), emosi merupakan bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang.(8)

Analisis Penulis:

Melalui penjelasan ini, dapat difahami bahawa kedudukan emosi adalah bersifat dalaman dan ia memberi pengaruh terhadap tingkah laku, minda dan juga perasaan. Setiap makhluk mahupun haiwan sekalipun mempunyai elemen emosi tetapi manusia dianugerahkan dengan kelebihan akal untuk mentafsirkan emosi yang dihadapai melalui penghasilan tingkahlaku dan pemikiran samada kepada kabaikan atau kejahatan. Contohnya, jika seseorang merasa sedih, dengan akal yang waras beliau masih lagi mampu mengawal perasaan sedih tersebut dengan cuba melakukan sesuatu yang dapat meredakan kesedihannya seperti membaca al-Quran tetapi jika seseorang itu tidak bijak dalam mengawal perasaan tersebut beliau pasti akan cuba melakukan perbuatan yang mungkin membawa keburukan kepadanya seperti menghadiri kelab malam bagi mengubati kesedihan yang dialami. Adalah penting untuk memahami fitrah emosi dan kaedah pengurusannya mengikut tatacara Islam kerana Islam begitu mengeji perbuatan yang boleh merosakkan iman dalam pelbagai sebab sekalipun. Firman Allah s.w.t:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (yaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya (al-Baqarah, 2:157)

Definisi Emosi Menurut Tasawur & Epistemologi Islam:

Menurut tasawur dan epistemologi Islam, emosi merupakan entiti yang bersifat dalaman atau rohani manakala tingkah laku yang terhasil daripada perubahan emosi itu adalah bersifat jasmani atau luaran. Emosi merupakan sebahagian daripada fitrah kejadian manusia. Islam menerangkan tentang pengkajian manusia melalui ayat-ayat al-Quran yang terdiri daripada dua unsur iaitu unsur material dan unsur spiritual.(9) Unsur material merujuk kepada unsur jasmani yang terbina daripada darah, daging, dan tulang. Firman Allah s.w.t.:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik”. (Al-Mukminun, 23:12-14)

Unsur spiritual pula merujuk kepada unsur roh, nafsu, hawa dan akal sepertimana firman Allah s.w.t.:

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur”. (Al-Nahl, 16:78)

Daripada hadis Rasulullah s.a.w. pula yang diriwayatkan daripada Abdullah yang bermaksud:

“Setiap seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya didalam perut ibunya selama empat puluh hari. Kemudian ia menjadi seketul daging dalam tempoh yang sama juga. Setelah itu Allah mengutus malaikat dan diperintahkan menulis empat perkara iaitu amalannya, rezkinya, ajalnya dan untung nasibnya samada celaka atau bahagia. Kemudian ditiupkan kepadanya roh.”(10)
 
Menurut Fariza Md. Sham (2005), fitrah kejadian manusia yang terdiri daripada aktiviti sistem saraf dan unsur kimia boleh mempengaruhi perasaan, mental dan jasmani manusia. Dalam hal ini, Allah telah menjelaskan dalam firmanNya dalam surah Al- Anbiya’:

“Manusia itu diciptakan bersifat tergesa-gesa. Nanti akan Kuperlihatkan kepada kamu keterangan-keteranganKu; sebab itu, janganlah kamu meminta kepadaKu supaya dicepatkan”. (Al-Anbiya’, 21: 37)

Dan melalui surah Al-Ma‘arij, maksudnya:

“Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat gelisah. Apabila bahaya menyinggungnya, dia berkeluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan (kekayaan), amatlah kikirnya. Bukan begitu orang-orang yang mengerjakan sembahyang”. (Al- Ma‘arij, 70: 19-22).

Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa Allah s.w.t. telah mencipta manusia dalam keadaan memiliki sifat tergesa-gesa dan gelisah kerana pengaruh sistem saraf badan yang sangat peka. Kepekaan itu diperlihatkan melalui emosi dan tingkah laku hasil tindak balas terhadap faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhinya. Ibn Kathir (1970: 116) dalam Fariza Md. Sham (2005) mentafsirkan surah Al-Ma‘arij, 70:19-22, beliau menyatakan bahawa dalam ayat ini Allah menerangkan tabiat manusia yang memiliki sifat takut, kurang sabar dan selalu berkeluh kesah. Jika ditimpa bencana dan malapetaka ia selalu mengeluh dan berputus asa, jika mendapat keuntungan atau kebaikan maka ia
amat tamak, kedekut dan bakhil kecuali orang-orang yang tekun, khusyuk dan tenang dalam solatnya.(11) Ada banyak kisah dalam al-Quran sebagai sumber tasawur dan epistemologi Islam yang menceritakan mengenai kehadiran emosi dalam diri manusia. Dalam surah al-Hijr, 15:17 menurut Ghalwah (t.t) dipetik daripada Fariza Md Sham (2005) diceritakan bahawa Nabi Muhammad saw mengalami tekanan emosi disebabkan persekitaran masyarakat yang tidak baik terhadap dakwah yang disampaikan baginda. Baginda telah dilemparkan dengan pelbagai ejekan yang menyakitkan hati dan menerbitkan rasa dukacita kepada baginda rasul saw kerana penentangan tersebut melampaui batas-batas kemanusiaan dengan menuduh baginda sebagai tukang sihir dan pendusta.
 
Selain daripada itu diceritakan juga kisah Nabi Zakaria a.s yang menghadapi konflik jiwa kerana tidak mempunyai zuriat bagi meneruskan perjuangan dakwah baginda sedangkan ketika itu baginda sudah semakin tua dan isterinya pula mandul. Keresahan dan tekanan emosi yang dihadapi oleh baginda mendorong baginda untuk berdoa dan merayu kepada Allah taala supaya dikurniakan zuriat
walaupun baginda sedar yang dirinya sudah tua. Kisah ini diceritakan melalui surah ali-Imran, 3:38, al-Anbiya’, 21-89, dan surah Maryam, 19:5. Selian daripada itu, menurut Muhammad Hussain Haekal (1989:80), Nabi Muhammad s.a.w turut mengalami tekanan emosi ketika menerima wahyu yang pertama di dalam Gua Hira’. Diceritakan bahawa keadaan Nabi s.a.w ketika itu dalam keadaan yang tertekan kerana ketakutan yang teramat sangat hingga seluruh anggota badan baginda gementar, menggigil. Jantungnya berdenyut dan hatinya berdebar-debar serta tubuhnya menggigil seperti orang demam.(12) Melalui kisah-kisah ini yang digambarkan secara jelas dalam al-Quran mahupun diperincikan lagi oleh hadis jelas menunjukkan bahawa Islam memberi penekanan dalam aspek emosi melului penjelasan mengenai ciri-ciri emosi yang berlaku serta tingkah laku yang terhasil. Ia tepat untuk menyokong penyataan bahawa emosi dan tingkah laku mempunyai hubungan yang cukup simbolik.

Analisis penulis:

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran, kenyataan hadis dan para ulama’ tentang kejadian manusia yang terdiri daripada unsur jasmani dan rohani, maka Islam tidak pernah menafikan tentang wujudnya emosi dalam diri manusia. Emosi merupakan sebahagian daripada fitrah kejadian manusia. Pengurusan jiwa yang kebanyakan banyak dibincangkan dalam kajian-kajian Islam adalah sebenarnya merujuk kepada pembangunan emosi. Istilah jiwa digunakan kerana ia mempunyai elemen roh yang menghidupkan jiwa seseorang makhluk itu. Melalui penghayatan tazkiyyah al-nafs (As-Syam, 91-9), mendorong manusia untuk memikirkan aspek kejiwaan termasuk rahsia disebalik penciptaan diri, keunikan fungsi kejadian khasnya fungsi akal dan hati yang berkait rapat dengan emosi.(13) Diperjelaskan lagi konsep ini melalui penghayatan melaui surah al-Hajj ayat 46, firman Allah taala:
 
“Apakah mereka berjalan dimuka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang di dalam dada”.

Penjelasan mengenai konsep ruh dan jiwa ini tidak diperjelaskan dalam penyelidikan sains mahupun lazim kerana bagi mereka sesuatu yang tidak bersifat saintifik adalah bukan ilmu. Ruh merupakan keajaiban dan ilmu Allah yang mana manusia wajib untuk percaya akan kewujudannya yang banyak dibuktikan melalui ayat-ayat al-Quran, hadis serta dapatan ulama’. Sebagai contoh, jika seseorang itu dalam keadaan koma, tetapi apabila dibacakan ayat al-Quran boleh diperhatikan tindak balas yang sangat luar biasa kerana pakar perubatan sendiri tidak mampu memperjelaskannya kerana ia merupakan kuasa Allah yang menghidupkan hati dan jiwa makluknya seperti yang Dia inginkan. Untuk itu, pengurusan emosi perlulah dari akar-umbi Islam yang memberi penekanan kepada fitrah kejadian manusia. Manusia tidak boleh sewenang-wenangnya malakukan perbuatan yang boleh merosakkan jiwa seperti telalu mengikut hawa nafsu kerana jiwa juga merupakan hak milik Allah taala.

PENGURUSAN EMOSI MENURUT TASAWUR & EPISTEMOLOGI ISLAM

Menurut Richard S. Lazarus (1993: 23), emosi dijuruskan kepada satu set emosi positif seperti kasih sayang, cinta, kegembiraan dan ketenangan dan juga satu set emosi negatif seperti marah, cemburu, takut, keluh kesah, sedih, dengki dan benci. Pengurusan emosi yang tidak betul boleh membawa kepada tekanan emosi atau tekanan perasan. Tekanan perasaan ini sebenarnya memberi kesan yang buruk kepada rohani dan jasmani seseorang samada dari aspek fikiran, tingkah laku mahupun jiwa. Menurut beliau tekanan emosi berpusat kepada emosi yang negatif.(14) Dalam konteks tasawur dan epistemologi Islam pula, tekanan emosi merupakan suatu keadaan jiwa manusia yang berada dalam keadaan tidak tenang seperti resah gelisah, kecewa, sedih, berdukacita, menurut hawa nafsu dan melanggar perintah Allah taala. Ahli psikologi Islam seperti Imam al-Ghazali, Muhammad Uthman Najati dan Muhammad Izzudin Taufik berpandangan, emosi yang tidak tenang ini adalah kerana manusia tidak mendekatkan atau menghubungkan diri dengan Allah taala. Sebaliknya mereka banyak menurut hawa nafsu. Oleh itu, emosi yang tertekan ini perlu diubati dengan seruan dakwah Islamiah dengan menggunakan uslub atau pendekatan yang sesuai.(15) Untuk itu, sejauh mana Islam mengenal pasti jenis-jenis emosi yang terdapat pada diri manusia dan bagaimana cara pengurusannya supaya manusia bijak menguruskan soal emosi mereka dan tidak memberi kesan kepada diri sendiri dan orang lain. Emosi yang bersifat negatif seperti marah, benci, sedih, malu dan takut. Kesemua emosi ini jika tidak diurus dengan baik akan membawa kepada tekanan jiwa dan seterusnya memberi keburukan kepada diri sendiri dan orang lain. Berikut merupakan antara cara pandang Islam mengenai jenis-jenis emosi negatif dan cara pengurusanya:

Emosi Takut

Iman al-Ghazali dalam menguraikan emosi takut telah mengibaratkan sebagai sesuatu yang menikam dan terbakar di dalam hati disebabkan oleh datangnya sesuatu perkara yang sangat dibenci dan tidak diingini.(16) Dalam menjelaskan tentang emosi takut yang wujud pada manusia, Allah s.w.t. telah berfirman:

“Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?” (Al-An’am 6:15)
 
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang emosi takut, Muhammad Uthman Najati dalam bukunya “ al-Quran wa Ilm al-Nafs ” telah membahagikan perasaan takut yang ada pada manusia kepada beberapa jenis iaitu takut kepada Allah, takut kepada manusia, takut kepada kematian dan takut kepada miskin.(17)

Analisis Penulis:

Jelas disini bahawa takut merupakan sebahagaian daripada emosi manusia. Takut kerana Allah s.w.t boleh membawa manusia untuk tidak melakukan perbuatan mungkar kerana takut akan kemurkaan Allah yang mengundang dosa dan balasan yang dasyat. Walaubagaimapun, perasaan takut yang berlebih-lebihan kerana trauma atau fobia contohnya takut untuk menaiki pesawat kerana trauma pada kemalangan yang lalu memerlukan kepada rawatan psikatrik supaya individu ini boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Emosi Marah

Emosi marah merupakan satu perasaan yang timbul apabila manusia tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Kebiasaannya ia diiringi oleh perubahan fisiologi seperti muka menjadi merah, anggota badan menggeletar, pergerakan dan pertuturan bercelaru. Kadang-kala ia diiringi oleh kelakuan
luaran seperti cacian, deraan, kutukan dan dendam. Emosi marah adalah antara naluri semulajadi manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk keperluan hidupnya. Sebagai satu sifat yang semulajadi, pada asalnya mempunyai emosi marah bukanlah suatu kecacatan atau kekurangan manusia. Namun begitu, emosi marah ini boleh menjadi sifat yang keji, jika kemarahan itu menimbulkan perasaan dendam dan melampaui batas kemanusiaan. Emosi marah yang tidak dikawal boleh membawa keburukan dan merosakkan diri sendiri dan orang lain. Allah s.w.t turut menyeru manusia supaya menahan marah seperti dalam firmannya dalam surah Al-Imran 3:134 yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”.

Analisis Penulis:

Dalam Islam memperakui adanya emosi marah, tetapi bukan emosi marah yang tidak dapat dikawal sehingga menimbulkan kerosakan kepada dirinya dan masyarakat seperti mana al-Razi menjelaskan bahawa kemarahan yang keterlaluan boleh membahayakan diri sendiri. Islam tidak melarang manusia mempunyai perasaan marah yang kena pada tempatnya dan diperlukan. Dalam konteks dakwah Islamiyah, Rasulullah s.a.w pernah marah tetapi kemarahannya kerana ada perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran.(18) Emosi marah merupakan naluri semula jadi manusia yang sedia wujud. Emosi marah ini boleh memberi manfaat kepada manusia jika digunakan untuk kebenaran dan keadilan. Tetapi emosi marah yang tidak dapat dikawal dan menurut hawa nafsu adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada kerosakkan diri dan orang lain. Untuk itu penulis menganggarkan bahawa, kes wanita berkenaan merupakan hasil daripada ekspresi marah beliau yang disulami dengan hawa nafsu hingga mengeluarkan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya kepada seorang tua. Adalah elok sekiranya, rasa amarah tersebut dipelihara dengan rasa hormat, istighfar dan penuh hikmah supaya tidak menimbulkan sesuatu yang melanggar batas kemanusiaan hingga membawa kepada perasaan malu dan menjatuhkan maruah seseorang.

Emosi Benci

Emosi benci mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya ialah apabila manusia benci melihat kemungkaran yang berlaku akan mendorong manusia untuk memperbetulkan keadaan tersebut manakala keburukannya pula ialah apabila emosi benci tidak dapat dikawal boleh membawa kepada permusuhan dan pergaduhan. Dalam al-Quran yang menceritakan tentang wujudnya emosi benci dalam diri manusia seperti dalam surah Al-Baqarah 2:216:

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Analisis Penulis:

Benci juga merupakan salah satu daripada emosi negatif yang jika tidak dikawal akan membawa
pelbagai kemudaratan samada kepada diri sendiri dan orang lain. Jika perasan benci-membenci ini mebawa kepada permusuhan dan pergaduhan hinggakan memutuskan ukhuwah antara satu sama lain adalah sangat dibenci oleh Allah taala. Untuk itu adalah perlu untuk menegelakkan rasa benci antara satu sama lain disamping cuba memupuk rasa kasih dan saying sebagai langkah untuk saling menghormati dan berkasih sayang sesama insan.

Emosi Malu

Setiap manusia mempunyai perasaan malu baik lelaki atau wanita. Perasaan ini menjadikan manusia menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Hal ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri. Berbagai-bagai perasaan bercampur aduk ketika seseorang mengalami malu. Ini termasuklah perasaan takut,
berminat, tertekan dan nyaman. Seiring dengan perasaan ini, terdapat peningkatan degupan jantung dan tekanan darah. Tanda luaran perasan malu ialah tenungan mata yang mendebarkan dan anggota menjadi tegang serta lidah menjadi kelu. Suara seorang yang berasa malu bernada rendah, lembut, menggeletar dan teragak-agak. Mimik muka menjadi tersipu, mulut akan tersenyum dan akan mengundur diri.(19) Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Malulah kamu sekalian di hadapan Allah dengan malu yang sebenar-benarnya, mereka berkata, tapi kami sudah merasa malu wahai nabiyullah, dan segala puji bagi Allah, Baginda bersabda, itu bukanlah malu yang sebenarnya. Orang yang ingin malu yang sebenar-benarnya dihadapan Allah swt, hendaklah menjaga fikiran dan bisikan hatinya, hendaklah menjaga perutnya dan apa yg dimakannya , hendaklah mengingati mati dan fitnah kubur. Orang yg menghendaki akhirat hendaklah meniggalkan perhiasan-perhiasan kehidupan duniawi. Orang yg melakukan semua ini, bererti ia memiliki rasa malu yang sebenarnya di hadapan Allah”. (riwayat Tarmidzi dan Hakim) (20)

Analisis Penulis:

Malu merupakan sebagian dari iman dan Nabi s.a.w sendiri pun terkenal dengan sifat pemalu. Hal ini karena malu menganjurkan kebaikan dan menghindarkan keburukan. Malu mencegah kealpaan untuk bersyukur kepada yang memberi nikmat dan mencegah kelalaian menunaikan hak orang yang memiliki hak. Disamping itu, malu juga mencegah berbuat/berkata kotor demi menghindari celaan dan kecaman. Malu adalah rasa yang membuat seorang mukmin kurung melakukan maksiat karena perasaan serba salah kerana takut dilihat oleh Allah taala.

Emosi Sedih


Emosi sedih akan timbul bilamana seseorang berhadapan dengan keadaan yang mengecewakan, menggelisahkan atau muncul sebagai akibat penderitaan kerana luka atau sakit. Islam lebih menganjurkan umatnya supaya tidak bersedih kepada perkara-perkara yang melalaikan dan bersedih sehingga melemahkan diri sehingga melahirkan kata-kata yang mengkufurkan Allah s.w.t. Dalam al-Quran ada menjelaskan mengenai emosi sedih. Hal ini sebagaiman firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah 2:277 maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan shalat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati’’.

Analisis Penulis:
 
Emosi sedih boleh membuatkan seseorang itu berasa tertekan dan murung. Justeru, apabila seseorang berasa sedih, dia hendaklah mengawal perasaan itu dengan sebaiknya. Membuat aktiviti seperti bersenam, membaca al-Quran dan sebagainya dapat melupakan seketika perasaan sedih itu. Jika boleh, kongsi perasaan sedih itu bersama teman rapat agar perasaan sedih dapat dikurangkan.

ANALISIS EMOSI DARI PERSPEKTIF TASAWUR ISLAM
 
Tasawur Islam merupakan cara pandang Islam akan sesuatu perkara. Tasawur Islam adalah bertunjangkan kepada tiga konsep utama iaitu Allah sebagai pencipta, manusia sebagai makhluk dan sumber alam juga merupakan makhluk (Muhammad Syukri, 2002).(21) Dalam aspek emosi dan pengurusan emosi menurut Islam telah banyak dibincangkan mengenai tatacara dan keadaan-keadaan emosi yang dilalui oleh para anbiya’ serta umat terdahulu. Menerusi konsep tasawur Islam, adalah wajar untuk manusia khusunya mengambil kira soal ketuhanan dalam meguruskan emosi dan perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan. Segala emosi ataupun perasaan yang dihadapi merupakan anugerah daripad Allah taala. Sebagai contoh rasa sayang dan cinta terhadap pasangan, rasa benci kepada kemungkaran, rasa takut untuk berbuat maksiat dan sebagainya. Allah taala merupakan pemilik sekalian alam dan Dia merupakan yang maha layak untuk membuat apa sahaja yang diingini. Dan adalah menjadi kewajipan kepada setiap makhluk di muka bumi ini untuk menyembah Allah yang Satu (al-Baqarah, 2:30). Ini menjelaskan bahawa konsep tasawur Allah selaku pencipta melalui hubungan menegak antara manusia dan Allah atau habluminallah.

Dalam menaggani permasalahan yang muncul berkaitan pengurusan emosi, adalah menjadi kewajiban kepada Muslim khusunya untuk kembali kepada fitrah dan sentiasa menyandarkan segala pengharapan kepadaNya. Ini dapat dilakukan dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang dapat memberi ketenangan kepada diri dan jiwa seperti selalu beristighfar, selawat ke atas junjungan nabi, membaca al-Quran serta melakukan perbuatan-perbuatan sunat dan fardhu. Sekiranya manusia berpegang kepada fitrah ini, ini dapat mempengaruhi manusia untuk bersikap dengan sepatutnya dan bukan diluar batas kemanusiaan. Sekiranya manusia melakukan perbuatan-perbuatan yang memudaratkan samada kepada iman dan Islam kerana tertekan dengan perasaan ini sebenarnya adalah kerana manusia kalah dengan tuntutan nafsu yang menyesatkan (al-Qhashas, 28:63).

Tasawur Islam juga menjelaskan kepentingan memelihara hubungan mendatar anatara manusia dengan manusia (habluminannas). Dalm konsep ini, tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah sangat diberi penekanan. Daya tarikan mahupun tindak balas antara manusia dengan manusia atau makhluk yang lain adalah kerana konsep ini. Allah menjadikan manusia itu bersaudara dan saling melengkapi antara satu sama lain (al-baqarah, 2:21). Jika manusia marah, benci, sedih sekalipun kepada manusia yang lain, adalah kerana ni’mat yang Allah berikan. Sebagai contoh, rasa sedih terhadap sahabat yang kematian ibu, rasa gembira terhadap sahabat yang berkahwin dan sebaginya. Emosi mahupun perasaan yang hadir ini merupakan suatu fitrah yang Allah hadirkan supaya manusia saling sensitif dengan manusia atau makhluk yang lain. Ia tidak semestinya dalam kedaan perasaan yang positif tetapi juga dalam keadaan perasaan yang negative seperti rasa benci terhadap orang-orang kafir serta mereka yang mensyirikkan Allah. Walaubagaimanapun, perlulah sentiasa menghayati konsep amar ma’ruf nahi munkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Konsep ini menjelaskan seburuk mana sikap seseorang manusia itu wajib untuk kita membimbing dan mengajak mereka kepada kebaikan dan bukan dengan mewujudkan persengketaan ataupun permusuhan (al-Imran,3:103).
 

KESIMPULAN

Bersadarkan kepada ulasan-ulasan mengenai emosi dan cara pengurusanya, perlu diingat bahawa kita harus menyentuh sisi kerohanian manusia yang melibatkan pengurusan emosi ini dengan kaedah tertentu yang berbeza dengan kaedah yang digunakan dalam psikologi moden. Untuk itu, kita harus merujuk kepada sumber epistemologi Islam yang utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah yang banyak membincangkan mengenai hakikat kejadian manusia. Hakikat tersebut tentu sahaja sukar ditolak
kerana hakikat manusia itu sepenuhnya bersumber dari Allah s.w.t. Dia adalah Zat yang lebih mengetahui mengenai manusia dan hakikat penciptaan serta pembentukannya. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“ Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya), sedang Dia Maha Halus urusan tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuannya.” (Al-Mulk : 14)
 
 
Bibliografi:
 
(1) Disunting daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kesbelasahisteridalamlif_ Pegawaiveterinarserahdiri/Article, 16/08/2013.
(2) Disunting daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IsteriMatYomohonmaaf/Article/, 27/09/2013
(3) Disunting daripada,http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pegawaibankmatiditembakpengawal/
Article,24/10/2013.
(4) Huffman., K. (2006). Living Psychology. UK: John Wiley & Sons.
(5)Disunting daripada http://ciptaan-mulia.blogspot.com/p/pengenalan-emosi-didefinisikan-sebagai.html, 13/11/2013
(6) Mohd Nazar Mohamed (1992). Pengantar Psikologi : Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.
(7) Aziz Hj. Yahaya, Shahrin Hashim, Nordiana Mohd Noor dan Noordin Yahaya (n.d). Hubungan Kecerdasan Emosi Dengan Prestasi Pencapaian Akademik. UITM, Melaka. h.2
(8) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. h. 6 
(9) Disunting daripada http://aiesayutimida.blogspot.com/2009/03/emosi-menurut-pandangan-islam.html, 13/11/2013
(11) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 8
(12) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 6 
(13) Hamidah Sulaiman, Zawawi Ismail & Roslinda Yusof. (2013). Kecerdasan Emosi Menurut al-Quran dan as-Sunnah: Aplikasinya Dalam Membentuk Akhlak Remaja.The Online Journal of Islamic Education 1(2).
(14) Lazarus, S. R. 1993. Why we should think of stress as a subset of emotion. Dalam Leo Goldberger & Shlomo Breznitz(ed). Handbook of Stress Theoritical and Clinical Aspects. New York: The Free Press A Division Of Macmillan, Inc.
(15) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 6 
(16) Disunting daripada http://aiesayutimida.blogspot.com/2009/03/emosi-menurut-pandangan-islam.html, 13/11/2013
 
(17) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 6 
(18) Disuntung daripada http://aiesayutimida.blogspot.com/2009/03/emosi-menurut-pandangan-islam.html, 13/11/2013
(19) Abdul Rashid Mohamed, & Mohamad Daud Hamzah. (2005), Kajian Korelasi Emosi Malu Dengan Pencapaian Akademik Di Kalangan Mahasiswa Melayu. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil 20, h.154-155
(20) Disunting daripada http://abusyahirah.blogspot.com/2011/01/hiasi-dirimu-dengan-sifat-malu.html, 13/11/2013
(21) Muhammad Syukri Salleh.(2002). Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.