Oleh:
Nur Afifah Abu
Hassan
MISDEV13, USM
PENGENALAN
Menerusi dalil al-Quran, Allah SWT berfirman:
وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ
وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
“Dan ketahuilah,
bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di
sisi Allahlah pahala yang besar” (Surah al-Anfal, 8:28)
Berdasarkan ayat ini, anak-anak merupakan anugerah
daripada Allah SWT kepada setiap pasangan yang mendirikan bahtera perkahwinan.
Inilah sebenarnya antara hikmah terbesar yang boleh didapati daripada tuntutan perkahwinan
di sisi Islam iaitu mengembangkan keturunan anak Adam di muka bumi ini. Hikmah
ini boleh didapati daripada hadis Nabi SAW di mana Nabi SAW menggalakkan
perkahwinan sehingga mendapat anak atau zuriat yang ramai. Sabda Nabi SAW:
تَزَوَّجُوا الْوَلُودَ الْوَدُودَ ، فَإِنِّي
مُكَاثِرٌ بِكُم
“Kahwinilah wanita
yang melahirkan anak ramai, dan yang memiliki kasih sayang yang tinggi,
sesungguhnya aku berbangga dengan kamu (kerana umat yang ramai)”
(Hadis Riwayat Abu Daud 2050, An-Nasaei 6/65, Sahih Abu Daud
1789,
Sahih Ibn Hibban
9/4056, Hasan Sahih dalam Kitab Al-Irwa’ 1784)
Anak-anak merupakan permata, mutiara, pengikat
kasih, penyubur cinta dan pelbagai tafsiran lagi bagi ibu bapa. Anak-anak juga
menjadi antara bukti kasih sayang Allah SWT kepada hambanya agar tidak hidup
berseorangan dan mempunyai lapisan keturunan dalam keluarga yang dibina.
Menerusi dalil al-Quran daripada Surah al-Anfal ayat 28 tadi, Allah SWT
menyifatkan anak-anak sama seperti harta benda yang mempunyai nilai yang cukup
tinggi di sisi Allah SWT. Ada manusia yang kaya harta tetapi tiada zuriat, ada
juga yang kaya anak-anak tetapi miskin harta. Keadaan ini menggambarkan nilai
anak-anak yang begitu berharga dan merupakan rezeki yang diberikan oleh Allah
SWT kepada manusia. pemberian zuriat oleh Allah SWT kepada manusia boleh jadi
merupakan suatu nikmat atau sebagai ujian dan cabaran. Zuriat atau anak-anak
merupakan nikmat kepada ibu bapa seperti mana hadis nabi:
“Apabila wafatnya manusia, maka terputus darinya
amalannya (pahala) kecuali dari tiga perkara (iaitu) dari sedekah jariah
(pahala yang mengalir), ilmu yang bermanfaat (kepada manusia lain yang masih
hidup), atau anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepadanya”.
(HSR Muslim No. Hadis 4310)
Hadis ini menunjukkan bahawa, anak-anak soleh
merupakan harta akhirat buat ibu bapa. Dengan kasih sayang dan pendidikan berkesan
yang diberikan dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan
berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya selain kepada agama khususnya. Dengan demikian,
banya ganjaran yang Allah SWT berikan baik kepada anak tersebut juga kepada
pengorbanan ibu bapa yang amanah dengan nikmat yang Allah kurniakan ini.
Anak-anak atau zuriat juga boleh jadi menjadi suatu
ujian kepada manusia. Walau bagaimanapun, ujian ini bukanlah menunjukkan anak
tersebut sebagai beban atau suatu kelemahan kepada ibu bapa, tetapi sebenarnya
sebagai ujian ke arah mendapat reda Allah SWT. Sebagaimana hadis Nabi SAW
“Setiap kelahiran
(anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanya
menyahudikannya, atau menasranikannya, atau memajusikannya, sebagaimana haiwan
melahirkan (mengeluarkan) haiwan, adakah kamu lihat padanya sebarang kecacatan
(kekurangan/kelainan)”
(HR Bukhari No.
Hadis 1296, Muslim No. Hadis 6828)
Menerusi
hadis tersebut, membuktikan bahawa peranan ibu bapa amat besar dalam mencorakkan
kehidupan anak-anak. Sama ada dibesarkan untuk menjadi anak yang soleh dan
solehah atau sebaliknya. Melihat kepada nilai dan hikmah perkembangan zuriat di
sisi Islam, muncul persoalan mengenai sejauh mana manusia memberi pengiktirafan
dan penilaian kepada anak-anak mereka. Adakah kehadiran anak atau zuriat ini
menjadi suatu kurniaan ataupun menjadi beban yang amat rendah sekali nilai kewujudannya?
Persoalan ini muncul, rentetan daripada lambakan
isu-isu penderaan kanak-kanak yang semakin berleluasa kini. Sebagai contoh, baru-baru
ini negara dikejutkan dengan kisah menyayat hati seorang remaja OKU Muhammad
Firdaus Dullah yang ditemui dikurung dan kelaparan oleh ibunya sendiri.
Rata-rata masyarakat amat menyelar tindakan ibunya kerana mengabaikan anaknya
sedemikian rupa. Begitu juga dengan kes
kematian adik Muhammad Aqil Mustaqim Rushdy, 6 tahun akibat cedera parah dan
melecur teruk dipercayai dipukul ibunya tanpa henti. Menerusi kedua-dua kisah
ini menunjukkan bahawa masyarakat atau golongan ibu bapa kini mudah sekali
menzalimi dan menunjukkan kekerasan kepada anak-anak mereka bertentangan dengan
garis panduan yang diberikan oleh Islam iaitu untuk menyayangi, mengasihi,
mensyukuri, mendidik dan membesarkan dengan penuh kasih sayang, ihsan dan
berhikmah. Banyak lagi kes-kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan
termasuklah juga yang melibatkan pengasuh dan pusat-pusat jagaan kanak-kanak
yang memukul, mengherdik, mencederakan golongan anak-anak sama ada golongan
bayi, kanak-kanak mahupun remaja. Kes ini kian menular dan menjadi semakin
parah apabila turut melibatkan kes-kes penderaan hingga membawa kepada
kematian.
Isunya mengapa hal
ini berlaku? Apakah puncanya? Siapakah pelakunya dan mengapa memilih untuk
mendera anak-anak yang tidak berdosa ini ?
.jpg)
Risalah
ini merupakan sebahagian daripada kerja kursus yang menjadi prasyarat
pengijazahan bagi pelajar sarjana Pengurusan Pembangunan Islam melalui kursus
pembangunan insaniah (SYW/SVW/SZW/502), Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan
Islam (ISDEV), USM.
LATAR BELAKANG ISU
Isu penderaan kanak-kanak
kian menular dalam kalangan masyarakat kini. Saban hari akhbar dan media sosial
melaporkan pelbagai kes penderaan kanak-kanak yang berlaku hinggakan ada kes
penderaan yang membawa kepada kematian. Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan
bahawa setiap tahun sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan
menjadi mangsa penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Walau bagaimanapun kes
penderaan kanak-kanak ini masih kurang dilaporkan sama seperti mana-mana
bahagian lain di dunia. Kes yang dilaporkan ini hanyalah sebahagian kecil
berbanding dengan kes-kes penderaan yang tidak dilaporkan. [1]
Bagi membuktikan hujah
ini, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan pada tahun 2008,
2780 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di negara ini dengan 952 kes
melibatkan pengabaian kanak-kanak, 863 kes penderaan fizikal, 733 kes penderaan
seksual dan 58 kes bayi ditinggalkan. Lebih mendukacitakan apabila rata-rata
kes penderaan kanak-kanak ini dilaporkan dilakukan oleh ibu bapa mereka sendiri
dengan 772 kes membabitkan ibu manakala 494 kes dilakukan oleh bapa mereka.
Isu penderaan
kanak-kanak kini mula menjadi suatu viral
dalam masyarakat kini bukan. Ia bukan lagi melibatkan kes-kes penderaan
fizikal atau seksual yang membawa kepada kesan trauma yang berpanjangan
terhadap kanak-kanak, tetapi kini lebih dahsyat lagi apabila kes-kes penderaan
ini melibatkan kematian atau boleh dikatakan sebagai isu pembunuhan kanak-kanak
mangsa dera.
Hujah ini turut
disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila sebanyak 122 kes
pembunuhan melibatkan golongan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dilaporkan
di seluruh negara sejak lima tahun kebelakangan kini. Lebih mendukacitakan lagi
apabila statistik PDRM memaparkan lebih 80 peratus daripada jumlah kes itu
melibatkan pembunuhan yang berunsurkan penderaan seksual. Menurut Ketua
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Datuk
Huzir Mohamed berkata, seramai 18 kanak-kanak menjadi mangsa kes bunuh pada
2009, diikuti 21 orang pada tahun 2010, 31 tahun pada tahun 2011, 26 orang pada
tahun 2012, 24 orang pada tahun 2013 dan beberapa kes pada tahun ini (Utusan Online, 2014)[2].
Isu penderaan kanak-kanak bukan sahaja memberi kesan yang
buruk pada aspek kesihatan, sosial, dan perundangan tetapi juga memberi kesan
pada aspek agama. Pelbagai pendekatan boleh di cakna dalam memberi kefahaman
akan isu ini. Antaranya, dari sudut kesihatan penderaan kanak-kanak memberi
impak serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak,
kesejahteraan serta perkembangan sepanjang kehidupan mereka, Dari sudut sosial
pula penderaan kanak-kanak merupakan suatu fenomena keruntuhan moral dalam
kalangan masyarakat selain juga memberi kesan buruk terhadap pembabitan
kanak-kanak mangsa penderaan ini dalam persekitaran luar di masa hadapan kelak.
Seterusnya, dari sudut perundangan pula, wujud pelbagai akta atau kanun di
peringkat antarabangsa seperti Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Malaysia juga
menggariskan pelbagai bentuk akta bagi merealisasikan hak kanak-kanak, remaja
dan wanita seperti Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947,
Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada
1991 dan Akta Kanak-kanak 2001. [3] Menerusi
pendekatan ini, penderaan kanak-kanak mensabitkan pelbagai bentuk hukuman
kepada pihak yang terbabit. Selanjutnya, dari sudut agama isu penderaan
kanak-kanak memperlihatkan masalah keruntuhan akhlak, moral dan akidah dalam
kalangan masyarakat. Ini kerana isu penderaan kanak-kanak ini adalah
bertentangan dengan syariah Islam kerana berunsur kekejaman dan bertentangan
dengan fitrah kejadian manusia.
KEFAHAMAN
UMUM TENTANG ISU PENDERAAN KANAK-KANAK
Menerusi portal
rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), kanak-kanak didefinisikan sebagai
seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta
Kanak-Kanak 2001. WHO Pasukan Pencegah dan
Kecederaan Keganasan 1999 menggariskan penderaan kanak-kanak merujuk kepada
penderaan secara fizikal dan emosi, penderaan seksual, kecuaian dan pengabaian
terhadap kanak-kanak, termasuk sebarang bentuk eksploitasi atau komersial atau
lain-lain eksploitasi, yang boleh atau telah menyebabkan kerosakan, kepada
kesihatan kanak-kanak, dari segi 'survival', perkembangan atau harga diri. Ini
adalah dalam konteks di mana pendera ada perhubungan tanggungjawab, kuasa atas
kanak-kanak berkenaan atau pendera ialah seseorang yang dipercayai oleh
kanak-kanak. [4]
v Jenis-Jenis Penderaan Kanak-Kanak:
Berdasarkan portal rasmi
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penderaan Kanak-kanak secara amnya
dibahagikan kepada empat jenis penderaan termasuk[5]:
- Pengabaian
- Penderaan fizikal
- Penderaan seksual
- Penderaan emosi
Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak
kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping
menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh
dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.
Pengabaian merujuk kepada
kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas
fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan
emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk
kanak-kanak. Pengabaian berlaku apabila kanak-kanak menginap di rumah di mana orang
dewasa tidak memberi keperluan asas seperti fizikal (contohnya, kegagalan untuk menyediakan keperluan seperti makanan,
tempat perlindungan, atau kekurangan pengawasan yang teliti), perubatan (contohnya, kegagalan untuk
memberi rawatan atau perawatan kesihatan mental), pendidikan dan penyeliaan (contohnya, kegagalan untuk
memberi pendidikan atau menawarkan perkhidmatan khas) dan emosi (contohnya kurang perhatian terhadap
keperluan emosi kanak-kanak, kegagalan untuk menyediakan penjagaan psikologi, membenarkan kanak-kanak untuk minum alkohol atau menggunakan dadah. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk
bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.
Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang
kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh
dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau
penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu. Kecederaan fizikal (dari kecederaan ringan sehingga kecederaan teruk
seperti patah atau kematian) disebabkan oleh tumbukan, tamparan, sepakan,
gigitan, goncangan, campakkan, tikaman, tercekik, pukulan (menggunakan tangan,
kayu, atau sebarang objek) ,atau apa-apa yang mencederakan kanak-kanak . Walau bagaimanpun,
kes penderaan fizikal ini tidak selalunya ada niat untuk menyakitkan atau
menyebabkan kecederaan. Ia mungkin disebabkan dari tujuan untuk mendisiplinkan
yang berlebihan atau hukuman fizikal serta gangguan dari tangisan bayi dan
ketidakupayaan untuk mengendalikannya. Buli, dan "shaken baby
syndrome" juga merupakan sejenis penderaan fizikal. Semua keadaan ini dikenal pasti sebagai penderaan tidak kira sama ada
penjaga berniat untuk mencederakan kanak-kanak atau tidak.
Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak
teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta
atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud
atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu
atau orang lain. Ini termasuk mempengaruhi atau memaksa kanak-kanak dalam aktiviti seksual
yang bertentangan dengan undang-undang. Juga eksploitasi komersial melalui
pelacuran atau penghasilan gambar lucah
Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak
dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada
fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah
laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat. Penderaan jenis ini melibatkan pelbagai cara memperkecilkan seseorang
(termasuk kaki buli di sekolah), tabiat suka mengenakan orang lain, memperkecil
dan memalukan, menolak perawatan serta mengurung kanak-kanak di dalam almari
gelap dan sebagainya.
v Faktor-Faktor
Berlakunya Kes Penderaan Kanak-Kanak
Beberapa justifikasi yang dapat dikenal pasti mengenai
faktor-faktor berlakunya permasalahan ini. Menerusi blog rasmi Jabatan Peguam Malaysia, Akhmalina Mohammed selaku Timbalan Pendakwa Raya Melaka menyatakan antara faktor
tersebut ialah, tekanan di tempat kerja bagi ibu bapa yang bekerja serta
beban kerja mereka. [6] Masalah dan tekanan di
tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut
kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram
dan tekanan mereka kepada anak-anak tersebut adalah merupakan satu tindakan
yang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan
memukul menerajang, mencucuk putung rokok dan sebagainya.
Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah
ekonomi yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah ekonomi menyebabkan
mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Ramai ibu bapa menjadi kurang waras
akibat dari tekanan ekonomi ini. Ibu bapa sering melepaskan tekanan tersebut
dengan memukul atau menyakiti anak-anak tersebut.
Selain itu, krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara
suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar juga penyumbang kepada
peningkatan kes penderaan ini. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan
mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru.
Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya
menjadi mangsa pergaduhan.
Faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah ibu
bapa yang kurangnya pendidikan agama. Mereka mudah hilang pertimbangan
kerana tidak memikirkan dosa dan pahala bahkan mereka merasakan penderaan bukan
satu kesalahan.
Menerusi perbincangan ini menunjukkan bahawa anak-anak menjadi mangsa ibu bapa
melepaskan tekanan akan masalah yang dihadapi. Mereka menjadi alat ledakan emosi
yang tidak terkawal ibu bapa dan masyarakat rentetan pelbagai bentuk tekanan
hidup yang dihadapi. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak
sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan
kasih sayang dan perlindungan. Sepatutnya ibu bapa tersebut perlulah berfikir
cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut bukannya dengan
melepaskan tekanan pada anak-anak yang tidak berdosa ini.
PEMBANGUNAN
INSANIAH
Berdasarkan kepada perbincangan umum mengenai isu dan amalan penderaan
kanak-kanak dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat, secara kar umbinya penulis
merasakan kecenderungan individu bertindak dalam isu-isu penderaan kanak-kanak
ini adalah berpunca daripada kurangnya kefahaman tentang ilmu agama. Ini kerana,
ilmu agama amat penting dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang
terbaik dalam menguruskan keluarga. Sebagaimana perbincangan di awal penulisan
risalah ini, menunjukkan Islam khususnya amat menghargai dan meletakkan
pengiktirafan yang tinggi terhadap anak-anak atau zuriat. Anak-anak seharusnya
dilayan dengan baik bukan dengan cara kekerasan hingga memudaratkan mereka. Islam
juga begitu mencela perbuatan kejam yang melanggar syariat dan fitrah kejadian
manusia. Sebagaimana firman Allah SWT:
“Hai anakku, dirikanlah solat
dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari
perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)”(Sural
Luqman, 31:17-18)
Masalah penderaan kanak-kanak ini sebenarnya berpunca daripada sahsiah atau
akhlak individu yang rosak dan tidak berteraskan kepada iman dan nafsu yang
kuat. Perbuatan sedemikian merupakan
antara akhlak terkeji atau mazmumah yang
dipandu oleh nafsu dan iman yang rendah. Kurangnya kekuatan iman dan nafsu
menjadikan individu melakukan perbuatan-perbuatan yang salah di sisi agama
termasuklah dalam isu ini. Sekiranya individu mempunyai iman yang tinggi dapat
mengelakkan mereka berbuat demikian kerana sedar akan kemurkaan Allah SWT pada
perkara-perkara mungkar dan menyalahi agama.
Oleh yang demikian, secara pokoknya isu ini dapat ditangani dengan kaedah
menerapkan kefahaman tentang keagamaan dan kerohanian dalam diri mereka. Melalui
penerapan kefahaman tentang iman, ilmu dan fitrah kejadian ini merupakan suatu
pendekatan yang paling baik dan holistik bagi mengatasi pelbagai isu-isu
sahsiah masyarakat dari akar umbi. Untuk itu, pendekatan pembangunan insaniah
merupakan asas pengukuran yang boleh dijadikan panduan dalam melahirkan sahsiah
yang baik dalam kalangan individu, ibu bapa dan masyarakat.
Pembangunan insaniah melibatkan pembangunan rohani, fizikal, emosi dan
mental individu. Pembangunan insaniah menggariskan kefahaman mengenai membangunkan
sahsiah atau akhlak individu dengan cara pengurusan sifat-sifat mahmudah dan mazmumah melalui konsep penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs). Bagi memahami akan konsep ini perlu kepada
kefahaman tentang iman dan nafsu yang menjadi asas kepada perlakuan manusia
sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.
Ø Aspek Iman dan Nafsu dalam Pembentukan Sahsiah Terpuji
Aspek iman dan nafsu merupakan komponen
kerohanian yang menjadi pemandu utama perlakuan manusia. perbuatan penderaan
kanak-kanak secara dasarnya perlu difahami dari sudut ini kerana individu yang
sanggup melakukan perbuatan tersebut merupakan mereka yang gagal mengawal nafsu
dengan baik. Oleh sebab itu, mereka mudah untuk melakukan pelbagai kekerasan
dan kekejaman kerana dipandu oleh nafsu jahat. Nafsu jahat ini terbentuk sekiranya
tahap iman mereka adalah rendah. Untuk itu, perlu diberi kefahaman tentang iman
dan nafsu kepada masyarakat agar mereka tahu kaedah sebenar yang sepatutnya
digunakan dalam pembentuk persekitaran kehidupan yang disarankan oleh agama.
Muhammad Syukri Salleh (1985; 1990; 2002; 2003) terdapat
tujuh peringkat nafsu yang perlu diketahui bagi memahami sejauh mana ia
berfungsi dan memberi kesan kepada diri manusia. Peringkat yang paling bawah
atau rendah sekali dikenali sebagai nafsu ammarah,
diikuti nafsu lawwamah, mulhamah,
mutmainnah, radhiyyah, mardhiyyah dan peringkat nafsu yang paling tinggi
dan mulia iaitu nafsu kamilah. Sekiranya
manusia mempunyai tahap nafsu ammarah atau
nafsu jahat ini akan menjadikan mereka mempunyai sifat penting diri, angkuh,
tamak, serta pelbagai sifat-sifat negatif lain kerana tidak dihubungkan dengan
rasa kehambaan kepada Allah SWT.
Peringkat-peringkat nafsu ini mempunyai hubungan yang
erat dengan tahap iman. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), para ulama’
menyifatkan terdapat lima tahap iman yang mempunyai turun rendahnya iaitu iman taqlid, iman ilmu, iman ayan, iman haq dan iman haqiqah. Iman taqlid
merupakan tahap iman yang paling rendah yang dikenali sebagai iman orang yang
ikut-ikut tanpa ilmu. Seterusnya iman ilmu
iaitu iman orang yang mempunyai ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmu yang
dimiliki. Kedua-dua tahap ini dikategorikan sebagai iman rendah dan tidak mampu
menjadi pemerintah diri. Diikuti iman ayan,
iaitu iman yang mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu yang dimiliki. Bagi
menjadikan iman sebagai pemerintah diri dan bukannya nafsu perlulah
sekurang-kurangnya mempunyai tahap iman ini atau lebih baik lagi iman haq iaitu iman yang benar yang selalunya
merupakan iman para malaikat dan iman haqiqat
iaitu iman para nabi dan rasul. [7]
Seperti mana dinyatakan sebelum ini iman dan nafsu
mempunyai perkaitan yang sangat rapat. Jika baik iman begitulah nafsunya dan
sebaliknya. Jika iman berada pada tahap taqlid
dan ilmu, maka nafsunya sudah pasti
berada pada tahap yang rendah iaitu nafsu ammarah,
lawwamah atau mulhamah. Sebaliknya jika imannya berada pada tahap yang tinggi
iaitu iman ayan, haq dan haqiqah, sudah
pasti nafsunya berada pada peringkat yang tinggi iaitu nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyyah atau
kamilah.
Pada konteks isu penderaan kanak-kanak ini, golongan ibu
bapa ini melakukan perbuatan tersebut kerana tuntutan nafsu serta iman yang
rendah. Tahap iman dan nafsu yang rendah ini menanamkan akhlak yang buruk dalam
diri mereka seperti kuat marah, angkuh, dan tidak tenteram hingga melihat anak
sebagai objek atau boneka bagi melampiaskan nafsu kemarahan mereka pada suatu
perkara yang lain. Oleh sebab itu, anak-anak menjadi mangsa kepada sahsiah
buruk ibu bapa mereka. Hal ini dapat diatasi sekiranya ibu bapa ini kembali pada
agama iaitu menjadikan iman sebagai paksi kekuatan insan. Dengan yang demikian,
mereka dapat mengubah akhlak mazmumah
yang dimiliki dengan menanamkan akhlak mahmudah
dalam diri mereka. Secara ringkasnya, ibu bapa perlu menggantikan sifat marah,
angkuh, sombong serta pelbagai sifat buruk lain dengan sifat-sifat yang terpuji
seperti penuh kasih sayang, prihatin, bertanggungjawab, serta amanah dengan
kurniaan zuriat yang dimiliki. Dengan itu, mereka akan sedar bahawa anak-anak
bukan lagi menjadi beban kepada mereka sebaliknya merupakan amanah daripada
Allah SWT untuk dikasihi, disayangi, dihormati serta dididik untuk menjadi
insan yang berguna.
Ø Pendekatan Tazkiyah
al-Nafs
Nafsu dan iman boleh dikawal dan ditadbir menjadi baik
dengan proses tazkiyah nafs atau
penyucian jiwa seperti dengan berselawat, berzikir, mujahadah (berusaha untuk melakukan perkara yang baik) dan ikhlas
kepada Allah SWT (Muhammad Syukri Salleh, 1985; 1990; 2003). Proses penyucian
jiwa ini merupakan kaedah terbaik bagi membuang sifat-sifat mazmumah dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah dalam diri manusia ke arah
melahirkan sahsiah yang baik.
Menurut Fadzila Azni Ahmad (2013:66), proses penyucian
jiwa boleh dilakukan melalui tiga proses utama iaitu, bermula dengan proses Takhalli iaitu proses membuang
sifat-sifat terkeji dalam diri. Seterusnya diikuti dengan proses Tahalli iatu proses mengisi jiwa dengan
sifat-sifat terpuji. Menerusi disiplin dan mujahadah yang kuat dalam kedua-dua
perkara tersebut maka akan wujudlah rasa kehambaan dalam diri individu yang
dikenali sebagai Tajalli. [8]
Menurut Muhammad Syukri Salleh (2002),
melalui disiplin diri dan istiqamah yang kuat dalam proses tazkiyah al-nafs ini akhirnya akan
membentuk sahsiah diri yang baik bukan sahaja sahsiah pada Allah SWT juga
kepada manusia serta makhluk lain yang sekurang-kurangnya mempunyai iman ayyan dan nafsu mutmainnah sebagai paksi kekuatan jiwa. [9]
Walau bagaimanapun, proses pembentukan iman dan nafsu
yang baik ini tidak akan berlaku sekiranya tidak disusuli dengan ilmu dan akal
fikiran yang terbuka ke arah hidup bertuhan dan kembali kepada jalan yang diredai
Allah SWT. Ini menggariskan, golongan ibu bapa misalnya perlu mempelajari
asas-asas ilmu agama iaitu ilmu fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam kehidupan
yang berkisar soal akidah, ibadah dan akhlak. Melalui pendekatan ilmu ini akan
melahirkan pengetahuan tentang ilmu kerohanian atau keagamaan yang penting
sebagai asas kehidupan.
Sekiranya masyarakat khususnya ibu bapa sedar akan hikmah
kewujudan insan di muka bumi ini untuk taat dan patuh kepada perintah Allah SAW,
sudah pasti mereka akan merasa takut untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang
bertentangan dengan syariat seperti penderaan kanak-kanak. Ini kerana Allah SWT
mengeji perbuatan sedemikian dan menyediakan balasan yang setimpal dengan
perbuatan mereka. Sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya Allah SWT mewahyukan supaya kalian merendah
diri, sehingga tidak ada orang berasa lebih tinggi daripada yang lain dan tidak
ada orang yang berbuat zalim kepada lainnya” (Ibn Abi Dunya dan Ibn Hibban) [10]
KESIMPULAN
Anak-anak merupakan amanah daripada
Allah SWT. Ada manusia yang begitu menantikan kelahiran zuriat sebagai penyeri
rumah tangga. Wajarkan kiranya anak-anak yang dikandungkan dan membesar dalam
rahim dengan jerih perit, kemudian dilahirkan ke dunia ini akhirnya dipukul,
ditendang, dirotan dan dibunuh tanpa belas ihsan hingga mengorbankan nyawa dan
masa depan mereka. Jika dilihat pada isu semasa kini, masalah keruntuhan akhlak
dalam kalangan remaja rata-ratanya disebabkan oleh mereka yang lahir daripada
keluarga yang bermasalah. Melihat kepada keganasan dan kezaliman di depan mata,
menjadikan mereka terdidik dengan persekitaran sedemikian hingga akhirnya
membentuk akhlak yang buruk dalam diri mereka. “Melentur buluh biarlah daripada
rebungnya”. Kasihani dan didiklah anak-anak seperti mana sayangnya Allah SWT
memberi segala macam nikmat kepada manusia di muka bumi ini. Tidak cukup dengan
itu, pelbagai lagi ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT di akhirat kelak
bagi setiap perbuatan kebaikan manusia di muka bumi ini. Berpeganglah kepada
iman dan nafsu yang kuat agar terlahir sahsiah diri yang cemerlang dalam diri
insan. Gunalah pendekatan tazkiyah
al-nafs serta ilmu agama sebagai perisai kehidupan. Mudah-mudahan,
tergolong dalam golongan yang disediakan Allah SWT dengan ganjaran syurga di
akhirat kelak. Firman Allah SWT:
Kami berfirman, "Turunlah kamu semua dari syurga!
Kemudian jika benar-benar datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa
mengikuti petunjuk-Ku, tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak
bersedih hati” (Surah al-Baqarah, 2:38)
[1] Diakses
dari http://www.myhealth.gov.my/index.php/bayikanak-kanak/kecederaan-kemalangan-a-keracunan/penderaan-kanak-kanak#, 14
November 2014.
[2] Diakses
daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140201/lk_01/Trend-bunuh-kanak-kanak-serius, 14 November 2014
[3] Diakses
dari http://www.commonlii.org/my/journals/JMCL/2005/6.html,
14 November 2014
[5] Diakses dari http://www.myhealth.gov.my/index.php/bayikanak-kanak/kecederaan-kemalangan-a-keracunan/penderaan-kanak-kanak#,
14 November 2014
[6] Diakses
dari http://agc-blog.agc.gov.my/agc-blog/?p=1135,
14 November 2014
[7] Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam.
Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn Bhd
[8] Fadzila Azni Ahmad (2013). Konsep Pengurusan Institusi Pembangunan
Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[9] Muhammad Syukri Salleh (2002).
Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd.
[10] Fadzila Azni Ahmad (2013). Konsep Pengurusan Institusi Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Syukri Salleh. Falsafah Ilmu Pembangunan Berteraskan Islam: Beberapa Asas Kesepaduan. Pulau Pinang: Pusat Islam, Universiti Sains Malysia.
Muhammad Syukri Salleh (2003). Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam: Konsep dan Pengkaedahan (Siri Syarahan Umum Pelantikan Profesor).Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
How to make money from betting on football - Work Tomake Money
ReplyDeleteIf you're having problems finding microtouch solo titanium a winning bet online novcasino for the day of your choosing, หารายได้เสริม then there 토토 are plenty of opportunities available right here.