Popular Posts

Tuesday 3 December 2013

Saya ingin belajar menulis, supaya tinta ini memberi manfaat kepada semua Muslim khususnya...

Pengurusan Emosi Menurut Islam
 
oleh: Nur Afifah Bt Abu Hassan
MISDEV13, USM

PENGENALAN

Adakah emosi memberi pengaruh terhadap tingkah laku? Mahupun adakah tingkahlaku mempengaruhi emosi seseorang? Sejauh mana Islam yang berteraskan Quran dan Sunnah memberi panduan dan bimbingan mengenai pengurusan emosi seseorang supaya sentiasa tingkah laku dan emosi yang terhasil bertepatan dengan syiar Islam dan seterusnya melahirkan tindakan yang sewajarnya. Persoalan-persoalan inilah sebenarnya yang mendorong penulis untuk mengkaji dan menulis untuk lebih mendasari pengurusan emosi ini mengikut kaedah Islam. Islam merupakan agama yang mulia disisi
Allah dan Islam merangkupi seluruh aspek kehidupan samada dari sudut fizikal, material, kognitif mahupun dari sudut emosi. Penulis akan memfokuskan penulisan ini berdasarkan kepada pendekatan tasawur Islam dalam membincangkan mengenai emosi dan kaedah pengurusannya. Emosi merupakan sebahagian daripada fitrah kejadian manusia dan manusia adalah ciptaan Allah taala. Untuk itu, adalah sangat penting untuk mendasari aspek emosi dan kaedah pengrusannya sepertimana yang telah diberi garis panduan di dalam Quran dan Sunnah yang merupakan sumber utama tasawur dan epsitemologi Islam.
 
Penulisan ini adalah bertujuan bagi memenuhi prasyarat tugasan bagi matapelajaran SIW5050 Tasawur Dan Epistemologi Islam. Perbincangan ini akan dimulakan dengan persoalan mengenai isu yang membawa kepada penulisan ini, definisi emosi menurut lazim dan Islam, pengurusan emosi menurut tasawur dan epistemologi Islam, analisis penulis dan kesimpulan. Perbincangan ini adalah dari perspektif tasawur Islam kerana ingin melihat sejauh mana Islam menekankan aspek emosi dan kaedah pengurusanya yang bersifat Islami serta bersumberkan kepada Quran dan Sunnah selain dapatan ulama’ yang merupakan sumber rujukan utama epistemologi Islam.

PERSOALAN YANG MENYUNTIK PENULISAN INI

Mengapa penulis memilih tajuk pengurusan emosi bagi penulisan akademik kali ini? Persoalan ini sebenarnya dapat dijawab melalui fenomena-fenomena alam yang berlaku kebelakangan ini. Masihkah anda ingat mengenai kes seorang pegawai kerajaan yang memukul isterinya di dalam lif di
hadapan anak-anak mereka, dan aksi beliau malang sekali dapat dirakamkan melalui rakamam CCTV lif tersebut.(1) Kemudian negara dikejutkan pula dengan salah laku seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang pemain bola sepak negara apabila beliau bertindak kasar dengan menengking seorang pegawal keselamatan tua di sebuah lapangan terbang terkemuka negara.(2) Juga baru-baru ini kes kematian seorang pegawai bank apabila ditembak mati oleh seorang pegawal keselamatan bank tersebut untuk tujuan merompak.(3)
 
 
Ketiga-tiga kejadian ini, menarik perhatian ramai yang rata-rata merakamkan rasa dukacita dan terkilan mengenai kelakuan tersebut dan tidak kurang juga yang terlalu beremosi memberi respon hingga mempamerkan betapa rendahnya nilai kemanusiaan mereka dalam menguruskan emosi mereka terhadap ketidakpuasan yang berlaku. Tidak salah sebenarnya untuk melahirkan ketidakpuasaan masing-masing tetapi perlu sedar cara dan etika sebenar dalam menanggani masalah tersebut bukan hanya menunjukkan kekerasan semata-mata. Penulis merasakan bukan sahaja pegawal keselamatan, pegawai kerajaan dan wanita tersebut yang perlu diberi kesedaran sivik malahan masyarakat secara keseluruhannya juga perlu dibasuh supaya mengikut budaya dan etika yang sepatutnya dalam menanggani hal emosi. Penulis memilih pengurusan emosi menurut Islam adalah kerana merasakan ia merupakan satu keperluan kepada seluruh manusia terutamanya Muslim kerana Islam terkenal dengan keindahan dan kesederhanaannya dalam pelbagai aspek kehidupan malahan masalah yang berlaku kebanyakannya melibatkan komuniti Melayu yang beragama Islam. Oleh itu, adalah menjadi satu sebab mengapa pendekatan Islam perlu diaplikasi terhadap isu-isu yang berkaitan.

EMOSI DAN ISLAM
Definisi Emosi Secara Lazim:

Perkataan emosi itu sendiri berasal daripada Greek, iaitu, “emovere” yang membawa maksud “untuk keluar”. Emosi memberi pengaruh kepada tingkah laku dan juga turut mengalami perubahan melalui tingkah laku. Contohnya, jika seseorang dalam keadaan marah, beliau mungkin akan bersikap kasar akan sesuatu kerana menzahirkan rasa amarah tersebut (perubahan tingkah laku). Dan sebaliknya pula apabila seseorang dimarahi, beliau akan merasa malu dan sedih (perubahan emosi). Keadaan ini menunjukkan emosi dan tingkah laku adalah sangat berkait rapat antara satu sama lain.(4) Keadaan ini diperjelaskan lagi melalui ilmu psikologi yang begitu eart hubungannya dengan aspek emosi, kognitif, tingkahlaku dan sebagainya.
 
Dalam istilah Psikologi, emosi merupakan bahasa dalaman seseorang yang berkait rapat dengan tindak balas (fizikal) daripada sensitiviti perasaan dalaman dan luaran (pergaulan sosial). Ia adalah suatu pergerakan dalam minda yang dikeluarkan oleh pengaruh luaran. Minda adalah pasif dan sentiasa menerima semua yang terlintas untuk mempengaruhinya. Sesuatu yang dibangkitkan melalui
minda samada dalam bentuk perasaan mahupun tingkahlaku merupakan emosi.(5) Emosi yang dizahirkan oleh manusia adalah satu bentuk tindakan yang memenuhi kepuasan diri individu berkenaan. Ia juga boleh dikatakan sebagai satu keadaan dimana, perasaan yang ditunjukkan pada proses fisiologi dan psikologi seseorang individu (Mohd Nazar Mohamad, 1991).(6) Ia merupakan satu set tindakbalas autonomik, viskeral dan komunikasi emosi seperti ekspresi muka, perkataan, tingkah laku dan isyarat yang dipamerkan oleh individu itu.(7) Emosi juga dapat difahami sebagai suatu ekspresi perasaan naluri yang kuat seperti sayang, gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Emosi merupakan kehebatan dan sensitiviti perasaan yang selalunya diluahkan dari dalam atau rohani kepada luaran iaitu melaui tingkah laku tertentu atau sebagai menyampaikan perasaan. Perasaan-perasaan yang kuat ini akan mempengaruhi tindak balas luaran sama ada pada perubahan fizikal yang terkawal seperti mimik muka dan tidak terkawal seperti badan berpeluh kerana ketakutan. Muhammad Uthman Najati (1993) dalam Fariza Md. Sham (2005), emosi merupakan bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang.(8)

Analisis Penulis:

Melalui penjelasan ini, dapat difahami bahawa kedudukan emosi adalah bersifat dalaman dan ia memberi pengaruh terhadap tingkah laku, minda dan juga perasaan. Setiap makhluk mahupun haiwan sekalipun mempunyai elemen emosi tetapi manusia dianugerahkan dengan kelebihan akal untuk mentafsirkan emosi yang dihadapai melalui penghasilan tingkahlaku dan pemikiran samada kepada kabaikan atau kejahatan. Contohnya, jika seseorang merasa sedih, dengan akal yang waras beliau masih lagi mampu mengawal perasaan sedih tersebut dengan cuba melakukan sesuatu yang dapat meredakan kesedihannya seperti membaca al-Quran tetapi jika seseorang itu tidak bijak dalam mengawal perasaan tersebut beliau pasti akan cuba melakukan perbuatan yang mungkin membawa keburukan kepadanya seperti menghadiri kelab malam bagi mengubati kesedihan yang dialami. Adalah penting untuk memahami fitrah emosi dan kaedah pengurusannya mengikut tatacara Islam kerana Islam begitu mengeji perbuatan yang boleh merosakkan iman dalam pelbagai sebab sekalipun. Firman Allah s.w.t:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (yaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya (al-Baqarah, 2:157)

Definisi Emosi Menurut Tasawur & Epistemologi Islam:

Menurut tasawur dan epistemologi Islam, emosi merupakan entiti yang bersifat dalaman atau rohani manakala tingkah laku yang terhasil daripada perubahan emosi itu adalah bersifat jasmani atau luaran. Emosi merupakan sebahagian daripada fitrah kejadian manusia. Islam menerangkan tentang pengkajian manusia melalui ayat-ayat al-Quran yang terdiri daripada dua unsur iaitu unsur material dan unsur spiritual.(9) Unsur material merujuk kepada unsur jasmani yang terbina daripada darah, daging, dan tulang. Firman Allah s.w.t.:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik”. (Al-Mukminun, 23:12-14)

Unsur spiritual pula merujuk kepada unsur roh, nafsu, hawa dan akal sepertimana firman Allah s.w.t.:

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur”. (Al-Nahl, 16:78)

Daripada hadis Rasulullah s.a.w. pula yang diriwayatkan daripada Abdullah yang bermaksud:

“Setiap seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya didalam perut ibunya selama empat puluh hari. Kemudian ia menjadi seketul daging dalam tempoh yang sama juga. Setelah itu Allah mengutus malaikat dan diperintahkan menulis empat perkara iaitu amalannya, rezkinya, ajalnya dan untung nasibnya samada celaka atau bahagia. Kemudian ditiupkan kepadanya roh.”(10)
 
Menurut Fariza Md. Sham (2005), fitrah kejadian manusia yang terdiri daripada aktiviti sistem saraf dan unsur kimia boleh mempengaruhi perasaan, mental dan jasmani manusia. Dalam hal ini, Allah telah menjelaskan dalam firmanNya dalam surah Al- Anbiya’:

“Manusia itu diciptakan bersifat tergesa-gesa. Nanti akan Kuperlihatkan kepada kamu keterangan-keteranganKu; sebab itu, janganlah kamu meminta kepadaKu supaya dicepatkan”. (Al-Anbiya’, 21: 37)

Dan melalui surah Al-Ma‘arij, maksudnya:

“Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat gelisah. Apabila bahaya menyinggungnya, dia berkeluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan (kekayaan), amatlah kikirnya. Bukan begitu orang-orang yang mengerjakan sembahyang”. (Al- Ma‘arij, 70: 19-22).

Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa Allah s.w.t. telah mencipta manusia dalam keadaan memiliki sifat tergesa-gesa dan gelisah kerana pengaruh sistem saraf badan yang sangat peka. Kepekaan itu diperlihatkan melalui emosi dan tingkah laku hasil tindak balas terhadap faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhinya. Ibn Kathir (1970: 116) dalam Fariza Md. Sham (2005) mentafsirkan surah Al-Ma‘arij, 70:19-22, beliau menyatakan bahawa dalam ayat ini Allah menerangkan tabiat manusia yang memiliki sifat takut, kurang sabar dan selalu berkeluh kesah. Jika ditimpa bencana dan malapetaka ia selalu mengeluh dan berputus asa, jika mendapat keuntungan atau kebaikan maka ia
amat tamak, kedekut dan bakhil kecuali orang-orang yang tekun, khusyuk dan tenang dalam solatnya.(11) Ada banyak kisah dalam al-Quran sebagai sumber tasawur dan epistemologi Islam yang menceritakan mengenai kehadiran emosi dalam diri manusia. Dalam surah al-Hijr, 15:17 menurut Ghalwah (t.t) dipetik daripada Fariza Md Sham (2005) diceritakan bahawa Nabi Muhammad saw mengalami tekanan emosi disebabkan persekitaran masyarakat yang tidak baik terhadap dakwah yang disampaikan baginda. Baginda telah dilemparkan dengan pelbagai ejekan yang menyakitkan hati dan menerbitkan rasa dukacita kepada baginda rasul saw kerana penentangan tersebut melampaui batas-batas kemanusiaan dengan menuduh baginda sebagai tukang sihir dan pendusta.
 
Selain daripada itu diceritakan juga kisah Nabi Zakaria a.s yang menghadapi konflik jiwa kerana tidak mempunyai zuriat bagi meneruskan perjuangan dakwah baginda sedangkan ketika itu baginda sudah semakin tua dan isterinya pula mandul. Keresahan dan tekanan emosi yang dihadapi oleh baginda mendorong baginda untuk berdoa dan merayu kepada Allah taala supaya dikurniakan zuriat
walaupun baginda sedar yang dirinya sudah tua. Kisah ini diceritakan melalui surah ali-Imran, 3:38, al-Anbiya’, 21-89, dan surah Maryam, 19:5. Selian daripada itu, menurut Muhammad Hussain Haekal (1989:80), Nabi Muhammad s.a.w turut mengalami tekanan emosi ketika menerima wahyu yang pertama di dalam Gua Hira’. Diceritakan bahawa keadaan Nabi s.a.w ketika itu dalam keadaan yang tertekan kerana ketakutan yang teramat sangat hingga seluruh anggota badan baginda gementar, menggigil. Jantungnya berdenyut dan hatinya berdebar-debar serta tubuhnya menggigil seperti orang demam.(12) Melalui kisah-kisah ini yang digambarkan secara jelas dalam al-Quran mahupun diperincikan lagi oleh hadis jelas menunjukkan bahawa Islam memberi penekanan dalam aspek emosi melului penjelasan mengenai ciri-ciri emosi yang berlaku serta tingkah laku yang terhasil. Ia tepat untuk menyokong penyataan bahawa emosi dan tingkah laku mempunyai hubungan yang cukup simbolik.

Analisis penulis:

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran, kenyataan hadis dan para ulama’ tentang kejadian manusia yang terdiri daripada unsur jasmani dan rohani, maka Islam tidak pernah menafikan tentang wujudnya emosi dalam diri manusia. Emosi merupakan sebahagian daripada fitrah kejadian manusia. Pengurusan jiwa yang kebanyakan banyak dibincangkan dalam kajian-kajian Islam adalah sebenarnya merujuk kepada pembangunan emosi. Istilah jiwa digunakan kerana ia mempunyai elemen roh yang menghidupkan jiwa seseorang makhluk itu. Melalui penghayatan tazkiyyah al-nafs (As-Syam, 91-9), mendorong manusia untuk memikirkan aspek kejiwaan termasuk rahsia disebalik penciptaan diri, keunikan fungsi kejadian khasnya fungsi akal dan hati yang berkait rapat dengan emosi.(13) Diperjelaskan lagi konsep ini melalui penghayatan melaui surah al-Hajj ayat 46, firman Allah taala:
 
“Apakah mereka berjalan dimuka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang di dalam dada”.

Penjelasan mengenai konsep ruh dan jiwa ini tidak diperjelaskan dalam penyelidikan sains mahupun lazim kerana bagi mereka sesuatu yang tidak bersifat saintifik adalah bukan ilmu. Ruh merupakan keajaiban dan ilmu Allah yang mana manusia wajib untuk percaya akan kewujudannya yang banyak dibuktikan melalui ayat-ayat al-Quran, hadis serta dapatan ulama’. Sebagai contoh, jika seseorang itu dalam keadaan koma, tetapi apabila dibacakan ayat al-Quran boleh diperhatikan tindak balas yang sangat luar biasa kerana pakar perubatan sendiri tidak mampu memperjelaskannya kerana ia merupakan kuasa Allah yang menghidupkan hati dan jiwa makluknya seperti yang Dia inginkan. Untuk itu, pengurusan emosi perlulah dari akar-umbi Islam yang memberi penekanan kepada fitrah kejadian manusia. Manusia tidak boleh sewenang-wenangnya malakukan perbuatan yang boleh merosakkan jiwa seperti telalu mengikut hawa nafsu kerana jiwa juga merupakan hak milik Allah taala.

PENGURUSAN EMOSI MENURUT TASAWUR & EPISTEMOLOGI ISLAM

Menurut Richard S. Lazarus (1993: 23), emosi dijuruskan kepada satu set emosi positif seperti kasih sayang, cinta, kegembiraan dan ketenangan dan juga satu set emosi negatif seperti marah, cemburu, takut, keluh kesah, sedih, dengki dan benci. Pengurusan emosi yang tidak betul boleh membawa kepada tekanan emosi atau tekanan perasan. Tekanan perasaan ini sebenarnya memberi kesan yang buruk kepada rohani dan jasmani seseorang samada dari aspek fikiran, tingkah laku mahupun jiwa. Menurut beliau tekanan emosi berpusat kepada emosi yang negatif.(14) Dalam konteks tasawur dan epistemologi Islam pula, tekanan emosi merupakan suatu keadaan jiwa manusia yang berada dalam keadaan tidak tenang seperti resah gelisah, kecewa, sedih, berdukacita, menurut hawa nafsu dan melanggar perintah Allah taala. Ahli psikologi Islam seperti Imam al-Ghazali, Muhammad Uthman Najati dan Muhammad Izzudin Taufik berpandangan, emosi yang tidak tenang ini adalah kerana manusia tidak mendekatkan atau menghubungkan diri dengan Allah taala. Sebaliknya mereka banyak menurut hawa nafsu. Oleh itu, emosi yang tertekan ini perlu diubati dengan seruan dakwah Islamiah dengan menggunakan uslub atau pendekatan yang sesuai.(15) Untuk itu, sejauh mana Islam mengenal pasti jenis-jenis emosi yang terdapat pada diri manusia dan bagaimana cara pengurusannya supaya manusia bijak menguruskan soal emosi mereka dan tidak memberi kesan kepada diri sendiri dan orang lain. Emosi yang bersifat negatif seperti marah, benci, sedih, malu dan takut. Kesemua emosi ini jika tidak diurus dengan baik akan membawa kepada tekanan jiwa dan seterusnya memberi keburukan kepada diri sendiri dan orang lain. Berikut merupakan antara cara pandang Islam mengenai jenis-jenis emosi negatif dan cara pengurusanya:

Emosi Takut

Iman al-Ghazali dalam menguraikan emosi takut telah mengibaratkan sebagai sesuatu yang menikam dan terbakar di dalam hati disebabkan oleh datangnya sesuatu perkara yang sangat dibenci dan tidak diingini.(16) Dalam menjelaskan tentang emosi takut yang wujud pada manusia, Allah s.w.t. telah berfirman:

“Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?” (Al-An’am 6:15)
 
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang emosi takut, Muhammad Uthman Najati dalam bukunya “ al-Quran wa Ilm al-Nafs ” telah membahagikan perasaan takut yang ada pada manusia kepada beberapa jenis iaitu takut kepada Allah, takut kepada manusia, takut kepada kematian dan takut kepada miskin.(17)

Analisis Penulis:

Jelas disini bahawa takut merupakan sebahagaian daripada emosi manusia. Takut kerana Allah s.w.t boleh membawa manusia untuk tidak melakukan perbuatan mungkar kerana takut akan kemurkaan Allah yang mengundang dosa dan balasan yang dasyat. Walaubagaimapun, perasaan takut yang berlebih-lebihan kerana trauma atau fobia contohnya takut untuk menaiki pesawat kerana trauma pada kemalangan yang lalu memerlukan kepada rawatan psikatrik supaya individu ini boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Emosi Marah

Emosi marah merupakan satu perasaan yang timbul apabila manusia tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Kebiasaannya ia diiringi oleh perubahan fisiologi seperti muka menjadi merah, anggota badan menggeletar, pergerakan dan pertuturan bercelaru. Kadang-kala ia diiringi oleh kelakuan
luaran seperti cacian, deraan, kutukan dan dendam. Emosi marah adalah antara naluri semulajadi manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk keperluan hidupnya. Sebagai satu sifat yang semulajadi, pada asalnya mempunyai emosi marah bukanlah suatu kecacatan atau kekurangan manusia. Namun begitu, emosi marah ini boleh menjadi sifat yang keji, jika kemarahan itu menimbulkan perasaan dendam dan melampaui batas kemanusiaan. Emosi marah yang tidak dikawal boleh membawa keburukan dan merosakkan diri sendiri dan orang lain. Allah s.w.t turut menyeru manusia supaya menahan marah seperti dalam firmannya dalam surah Al-Imran 3:134 yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”.

Analisis Penulis:

Dalam Islam memperakui adanya emosi marah, tetapi bukan emosi marah yang tidak dapat dikawal sehingga menimbulkan kerosakan kepada dirinya dan masyarakat seperti mana al-Razi menjelaskan bahawa kemarahan yang keterlaluan boleh membahayakan diri sendiri. Islam tidak melarang manusia mempunyai perasaan marah yang kena pada tempatnya dan diperlukan. Dalam konteks dakwah Islamiyah, Rasulullah s.a.w pernah marah tetapi kemarahannya kerana ada perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran.(18) Emosi marah merupakan naluri semula jadi manusia yang sedia wujud. Emosi marah ini boleh memberi manfaat kepada manusia jika digunakan untuk kebenaran dan keadilan. Tetapi emosi marah yang tidak dapat dikawal dan menurut hawa nafsu adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada kerosakkan diri dan orang lain. Untuk itu penulis menganggarkan bahawa, kes wanita berkenaan merupakan hasil daripada ekspresi marah beliau yang disulami dengan hawa nafsu hingga mengeluarkan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya kepada seorang tua. Adalah elok sekiranya, rasa amarah tersebut dipelihara dengan rasa hormat, istighfar dan penuh hikmah supaya tidak menimbulkan sesuatu yang melanggar batas kemanusiaan hingga membawa kepada perasaan malu dan menjatuhkan maruah seseorang.

Emosi Benci

Emosi benci mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya ialah apabila manusia benci melihat kemungkaran yang berlaku akan mendorong manusia untuk memperbetulkan keadaan tersebut manakala keburukannya pula ialah apabila emosi benci tidak dapat dikawal boleh membawa kepada permusuhan dan pergaduhan. Dalam al-Quran yang menceritakan tentang wujudnya emosi benci dalam diri manusia seperti dalam surah Al-Baqarah 2:216:

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Analisis Penulis:

Benci juga merupakan salah satu daripada emosi negatif yang jika tidak dikawal akan membawa
pelbagai kemudaratan samada kepada diri sendiri dan orang lain. Jika perasan benci-membenci ini mebawa kepada permusuhan dan pergaduhan hinggakan memutuskan ukhuwah antara satu sama lain adalah sangat dibenci oleh Allah taala. Untuk itu adalah perlu untuk menegelakkan rasa benci antara satu sama lain disamping cuba memupuk rasa kasih dan saying sebagai langkah untuk saling menghormati dan berkasih sayang sesama insan.

Emosi Malu

Setiap manusia mempunyai perasaan malu baik lelaki atau wanita. Perasaan ini menjadikan manusia menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Hal ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri. Berbagai-bagai perasaan bercampur aduk ketika seseorang mengalami malu. Ini termasuklah perasaan takut,
berminat, tertekan dan nyaman. Seiring dengan perasaan ini, terdapat peningkatan degupan jantung dan tekanan darah. Tanda luaran perasan malu ialah tenungan mata yang mendebarkan dan anggota menjadi tegang serta lidah menjadi kelu. Suara seorang yang berasa malu bernada rendah, lembut, menggeletar dan teragak-agak. Mimik muka menjadi tersipu, mulut akan tersenyum dan akan mengundur diri.(19) Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Malulah kamu sekalian di hadapan Allah dengan malu yang sebenar-benarnya, mereka berkata, tapi kami sudah merasa malu wahai nabiyullah, dan segala puji bagi Allah, Baginda bersabda, itu bukanlah malu yang sebenarnya. Orang yang ingin malu yang sebenar-benarnya dihadapan Allah swt, hendaklah menjaga fikiran dan bisikan hatinya, hendaklah menjaga perutnya dan apa yg dimakannya , hendaklah mengingati mati dan fitnah kubur. Orang yg menghendaki akhirat hendaklah meniggalkan perhiasan-perhiasan kehidupan duniawi. Orang yg melakukan semua ini, bererti ia memiliki rasa malu yang sebenarnya di hadapan Allah”. (riwayat Tarmidzi dan Hakim) (20)

Analisis Penulis:

Malu merupakan sebagian dari iman dan Nabi s.a.w sendiri pun terkenal dengan sifat pemalu. Hal ini karena malu menganjurkan kebaikan dan menghindarkan keburukan. Malu mencegah kealpaan untuk bersyukur kepada yang memberi nikmat dan mencegah kelalaian menunaikan hak orang yang memiliki hak. Disamping itu, malu juga mencegah berbuat/berkata kotor demi menghindari celaan dan kecaman. Malu adalah rasa yang membuat seorang mukmin kurung melakukan maksiat karena perasaan serba salah kerana takut dilihat oleh Allah taala.

Emosi Sedih


Emosi sedih akan timbul bilamana seseorang berhadapan dengan keadaan yang mengecewakan, menggelisahkan atau muncul sebagai akibat penderitaan kerana luka atau sakit. Islam lebih menganjurkan umatnya supaya tidak bersedih kepada perkara-perkara yang melalaikan dan bersedih sehingga melemahkan diri sehingga melahirkan kata-kata yang mengkufurkan Allah s.w.t. Dalam al-Quran ada menjelaskan mengenai emosi sedih. Hal ini sebagaiman firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah 2:277 maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan shalat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati’’.

Analisis Penulis:
 
Emosi sedih boleh membuatkan seseorang itu berasa tertekan dan murung. Justeru, apabila seseorang berasa sedih, dia hendaklah mengawal perasaan itu dengan sebaiknya. Membuat aktiviti seperti bersenam, membaca al-Quran dan sebagainya dapat melupakan seketika perasaan sedih itu. Jika boleh, kongsi perasaan sedih itu bersama teman rapat agar perasaan sedih dapat dikurangkan.

ANALISIS EMOSI DARI PERSPEKTIF TASAWUR ISLAM
 
Tasawur Islam merupakan cara pandang Islam akan sesuatu perkara. Tasawur Islam adalah bertunjangkan kepada tiga konsep utama iaitu Allah sebagai pencipta, manusia sebagai makhluk dan sumber alam juga merupakan makhluk (Muhammad Syukri, 2002).(21) Dalam aspek emosi dan pengurusan emosi menurut Islam telah banyak dibincangkan mengenai tatacara dan keadaan-keadaan emosi yang dilalui oleh para anbiya’ serta umat terdahulu. Menerusi konsep tasawur Islam, adalah wajar untuk manusia khusunya mengambil kira soal ketuhanan dalam meguruskan emosi dan perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan. Segala emosi ataupun perasaan yang dihadapi merupakan anugerah daripad Allah taala. Sebagai contoh rasa sayang dan cinta terhadap pasangan, rasa benci kepada kemungkaran, rasa takut untuk berbuat maksiat dan sebagainya. Allah taala merupakan pemilik sekalian alam dan Dia merupakan yang maha layak untuk membuat apa sahaja yang diingini. Dan adalah menjadi kewajipan kepada setiap makhluk di muka bumi ini untuk menyembah Allah yang Satu (al-Baqarah, 2:30). Ini menjelaskan bahawa konsep tasawur Allah selaku pencipta melalui hubungan menegak antara manusia dan Allah atau habluminallah.

Dalam menaggani permasalahan yang muncul berkaitan pengurusan emosi, adalah menjadi kewajiban kepada Muslim khusunya untuk kembali kepada fitrah dan sentiasa menyandarkan segala pengharapan kepadaNya. Ini dapat dilakukan dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang dapat memberi ketenangan kepada diri dan jiwa seperti selalu beristighfar, selawat ke atas junjungan nabi, membaca al-Quran serta melakukan perbuatan-perbuatan sunat dan fardhu. Sekiranya manusia berpegang kepada fitrah ini, ini dapat mempengaruhi manusia untuk bersikap dengan sepatutnya dan bukan diluar batas kemanusiaan. Sekiranya manusia melakukan perbuatan-perbuatan yang memudaratkan samada kepada iman dan Islam kerana tertekan dengan perasaan ini sebenarnya adalah kerana manusia kalah dengan tuntutan nafsu yang menyesatkan (al-Qhashas, 28:63).

Tasawur Islam juga menjelaskan kepentingan memelihara hubungan mendatar anatara manusia dengan manusia (habluminannas). Dalm konsep ini, tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah sangat diberi penekanan. Daya tarikan mahupun tindak balas antara manusia dengan manusia atau makhluk yang lain adalah kerana konsep ini. Allah menjadikan manusia itu bersaudara dan saling melengkapi antara satu sama lain (al-baqarah, 2:21). Jika manusia marah, benci, sedih sekalipun kepada manusia yang lain, adalah kerana ni’mat yang Allah berikan. Sebagai contoh, rasa sedih terhadap sahabat yang kematian ibu, rasa gembira terhadap sahabat yang berkahwin dan sebaginya. Emosi mahupun perasaan yang hadir ini merupakan suatu fitrah yang Allah hadirkan supaya manusia saling sensitif dengan manusia atau makhluk yang lain. Ia tidak semestinya dalam kedaan perasaan yang positif tetapi juga dalam keadaan perasaan yang negative seperti rasa benci terhadap orang-orang kafir serta mereka yang mensyirikkan Allah. Walaubagaimanapun, perlulah sentiasa menghayati konsep amar ma’ruf nahi munkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Konsep ini menjelaskan seburuk mana sikap seseorang manusia itu wajib untuk kita membimbing dan mengajak mereka kepada kebaikan dan bukan dengan mewujudkan persengketaan ataupun permusuhan (al-Imran,3:103).
 

KESIMPULAN

Bersadarkan kepada ulasan-ulasan mengenai emosi dan cara pengurusanya, perlu diingat bahawa kita harus menyentuh sisi kerohanian manusia yang melibatkan pengurusan emosi ini dengan kaedah tertentu yang berbeza dengan kaedah yang digunakan dalam psikologi moden. Untuk itu, kita harus merujuk kepada sumber epistemologi Islam yang utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah yang banyak membincangkan mengenai hakikat kejadian manusia. Hakikat tersebut tentu sahaja sukar ditolak
kerana hakikat manusia itu sepenuhnya bersumber dari Allah s.w.t. Dia adalah Zat yang lebih mengetahui mengenai manusia dan hakikat penciptaan serta pembentukannya. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“ Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya), sedang Dia Maha Halus urusan tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuannya.” (Al-Mulk : 14)
 
 
Bibliografi:
 
(1) Disunting daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kesbelasahisteridalamlif_ Pegawaiveterinarserahdiri/Article, 16/08/2013.
(2) Disunting daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IsteriMatYomohonmaaf/Article/, 27/09/2013
(3) Disunting daripada,http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pegawaibankmatiditembakpengawal/
Article,24/10/2013.
(4) Huffman., K. (2006). Living Psychology. UK: John Wiley & Sons.
(5)Disunting daripada http://ciptaan-mulia.blogspot.com/p/pengenalan-emosi-didefinisikan-sebagai.html, 13/11/2013
(6) Mohd Nazar Mohamed (1992). Pengantar Psikologi : Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.
(7) Aziz Hj. Yahaya, Shahrin Hashim, Nordiana Mohd Noor dan Noordin Yahaya (n.d). Hubungan Kecerdasan Emosi Dengan Prestasi Pencapaian Akademik. UITM, Melaka. h.2
(8) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. h. 6 
(9) Disunting daripada http://aiesayutimida.blogspot.com/2009/03/emosi-menurut-pandangan-islam.html, 13/11/2013
(11) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 8
(12) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 6 
(13) Hamidah Sulaiman, Zawawi Ismail & Roslinda Yusof. (2013). Kecerdasan Emosi Menurut al-Quran dan as-Sunnah: Aplikasinya Dalam Membentuk Akhlak Remaja.The Online Journal of Islamic Education 1(2).
(14) Lazarus, S. R. 1993. Why we should think of stress as a subset of emotion. Dalam Leo Goldberger & Shlomo Breznitz(ed). Handbook of Stress Theoritical and Clinical Aspects. New York: The Free Press A Division Of Macmillan, Inc.
(15) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 6 
(16) Disunting daripada http://aiesayutimida.blogspot.com/2009/03/emosi-menurut-pandangan-islam.html, 13/11/2013
 
(17) Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 6 
(18) Disuntung daripada http://aiesayutimida.blogspot.com/2009/03/emosi-menurut-pandangan-islam.html, 13/11/2013
(19) Abdul Rashid Mohamed, & Mohamad Daud Hamzah. (2005), Kajian Korelasi Emosi Malu Dengan Pencapaian Akademik Di Kalangan Mahasiswa Melayu. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil 20, h.154-155
(20) Disunting daripada http://abusyahirah.blogspot.com/2011/01/hiasi-dirimu-dengan-sifat-malu.html, 13/11/2013
(21) Muhammad Syukri Salleh.(2002). Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


 


Friday 4 October 2013

Jom Solat Sunat Dhuha...

Assalamu’alaikum & Salam Sejahtera… Pagi ini saya nak berkongsi sedikit berkenaan solat sunat Dhuha. Dulunya saya tak rajin nak buat solat Dhuha, tapi memikirkan untuk perbanyakkan amalan sunat jangan saya cuba untuk berusaha untuk solat walau bagaimana sekalipun. Solat sunat Dhuha ini dikerjakan pada ketika sedang naik matahari (anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi). Solat sunat Dhuha ini dilakukan sebanyak 2 rakaat. boleh juga dilakukan sebanyak 4, 6, 8 sehingga 12 rakaat dan setiap dua rakaat satu salam dan boleh juga setiap 4 rakaat satu salam. Cara melakukan solat Dhuha: a) Bacaan niat solat sunat Dhuha Ertinya: ” sahaja aku solat sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Taala”. b) Bacaan rakaat pertama surah Al-Fatihah dan As-Syam c) Bacaan surah rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Ad-Dhuha d) Setelah selesai salam, lalu membaca doa maksudnya; “Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh. Kelebihan: Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: ” Barangsiapa yang melakukan solat Dhuha membaca rakaat pertama surah Al-Fatihah dan ayat Kursi 10 kali, dan pada rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 10 kali, nescaya ia mendapat kerelaan Allah Yang Maha Besar.” (HR. Anas B Malik). ” Barangsiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan terus menerus, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan.” (HR Tirmizi) يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى ” Rasullullah S.A.W bersabda: setiap pagi masing-masing persendian/ruas tulang daripada kamu sedekah, dan setiap bertasbih sedekah dan setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) itu sedekah, dan setiap ucapan takbir itu sedekah, dan menyeru dalam kebaikan sedekah, dan melarang dari perbuatan jahat itu sedekah, dan sebagai ganti semua itu, cukuplah dengan mengerjakan solat Dhuha dua rakaat.” (HR Ahmad, Muslim dan Daud) Rujukan : koleksi 100 solat-solat sunat oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Hj. Ahmad B. Hj. Ibrahim. terbitan Al-Hidayah Publisher

Rajin-rajinkan Diri Membaca Al-Mathurat, bukan banyak pun..

Assalamualaikum wbt Bismillahirrahmannirrahim, Kita selalu dengar tentang kelebihan Al-Ma'thurat. Memang setahu saya, rakan-rakan pun ramai yang mengamalkan zikir-zikir dalam Al-Ma'thurat. Dan saya sendiri akan berusaha untuk membacanya di waktu pagi sesudah Subuh dan di sebelah petang sesudah Asar mahupun sesudah Maghrib. Tapi apa sebenarnya Al-Ma'thurat dan siapa yang memulakan Al-Ma'thurat ni ye. Ayuh, kita kaji sedikit.. Sebenarnya, Syahid Hassan Al Banna dari Mesir adalah orang yang telah memperkenalkan wirid zikir al-Ma’thurat kepada umat Islam dan khususnya kepada pengerak-pengerak dakwah Islam sebagai santapan rohani penguat jiwa mereka. Menurut Hassan Al Banna, terdapat banyak kepentingan mengapa zikir-zikir ini perlu dilakukan. Antara pesanannya: 1. Zikir mengingati Allah sebenarnya perlu dilakukan pada setiap ketika, termasuklah di dalam perkara yang biasanya dianggap sebagai perkara duniawi. Seni mengaitkan amalan dunia yang dilihat tiada kaitan dengan ritual keagamaan, dengan mengingati Allah, adalah suatu seni yang perlu digilap oleh pendokong Islam. 2. Beliau juga memperingatkan kepada ahli Ikhwan mengenai fadhilat zikir. Yang paling utama menurut beliau, ialah dengan mengingati Allah, Allah akan mengingati kita, seterusnya membawa kepada nusrah dan ketenangan di dalam menggalas amanah dakwah. 3. Adab berzikir turut ditekankan oleh beliau. Adab paling penting ialah menghadirkan kemanisan hati semasa berzikir, dengan memberikan fokus dan memikir falsafah pengertian zikir yang dilafaz lisan. Beliau turut menyatakan keutamaan merendahkan suara di dalam berzikir, dan juga menjaga kebersihan pakaian serta tempat ketika berzikir. 4. Di dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan ahli Ikhwan supaya membca al-Ma’thurat secara berjemaah atau beramai-ramai, dengan syarat tidak menganggu orang lain yang sedang bersembahyang atau mengerjakan urusan yang lain. Menurut al-Banna, kelebihan berzikir secara berkumpulan ini disentuh di dalam sepotong hadith riwayat Muslim: لا يقعد قوم يذكرون الله عز وجل إلا حفتهم الملائكة وغشيتهم الرحمة ، ونزلت عليهم السكينة ، وذكرهم الله فيمن عنده Tidaklah duduk sesuatu kaum itu (berkumpul) berzikir mengingati Allah Azza wa Jall, melainkan dinaungi mereka dengan malaikat, dilimpahi dengan rahmah, dianugerahkan ketenangan dan Allah mengingati mereka terhadap apa yang di sisi mereka. Antara kelebihan-kelebihan bacaaan zikir dan wirid Ma'thura ini adalah: 1. Tidak dihampiri syaitan 2. Rumah dan keluarganya terselemat dari perkara yang tidak diingini. 3. Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat. 4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga. 5. Selamat dari segala sesuatu. 6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya. 7. Allah berhak untuk meredhainya 8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya. 9. Terhindar daripada syirik. 10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun. 11. Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang. 12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat. 13. Sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh allah hingga ke waktu petang.Dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi. 14.Mengamalkannya umpama mengamalkan Sunnah Rasulullah dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan. Seeloknya, Al-Ma'thurat ini dibaca selepas Subuh dan selepas Asar. InsyaAllah dengan bacaan Ma'thurat ini Allah akan pelihara kita. Sekarang ni pun, Al-Ma'thurat boleh dimuat turun secara percuma di 'smartphone'. Jadi tiada alasan untuk tidak berMa'thurat.

Luckily I am a Woman of Islam::

Istimewanya Wanita Islam Ada yang mengatakan susahnya menjadi wanita ISLAM, lihat saja peraturan dibawah ini : 1.Wanita auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. 2. Wanita perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. 3. Wanita saksinya kurang berbanding lelaki. 4. Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki. 5. Wanita perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak. 6. Wanita wajib taat kpd suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya. 7. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri. 8. Wanita kurang dlm beribadat kerana masalah haid dan nifas yg tak ada pada lelaki. Kerana itu, sering kali kita melihat agenda-agenda tertentu ke arah "MEMERDEKAKAN WANITA ISLAM" Pernahkah kita lihat sebaliknya (kenyataannya)?? Benda yg mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yg teraman dan terbaik. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar berserak bukan? Itulah bandingannya dgn seorg wanita. Wanita perlu taat kpd suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapaknya. Bukankah ibu adalah seorang wanita? Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik pribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya utk isteri dan anak-anak. Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala makhluk, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid. Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita ini: Isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya. Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini: Suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya. Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana mana pintu Syurga yg disukainya cukup dgn 4 syarat saja : Sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat suaminya dan menjaga kehormatannya. Seorg lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala org pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. Masya ALLAH ... demikian sayangnya ALLAH pada wanita .... kan? - See more at: http://www.dudung.net/artikel-islami/istimewanya-wanita-islam.html#sthash.niC2Ssjv.dpuf

Tuesday 24 September 2013

New Journey Begins..

Assalamualikum..wbt..


Syukur ke hadrat Allah subhanahuwataala kerana dgn limpah izin kurniaNya kita masih lagi dihidupkan, dapat menatap wajah kedua ibibapa, masih dapat mendengar kicauan burung, hembusan angin, kerlipan bintang yang MasyaAllah begitu menenangkan dan utamaNya membuat kita bermusyahadah betapa hebat dan besarNya nikmat dan anugerahMu Ya Allah..

Aku hanyalah insan biasa yang serba kekurangan, masih mencari identiti diri, masih tercari2 sesuatu yg belum mencakupi kemanisan dan kenikmatan iman dan Islam itu. Dalam kesempatan yang Allah berikan kepadaku, aku cuba bersangka baik kepadaNya kerana aku sedia HE IS THE BEST PLANNER.Setiap yang berlaku, qada'  dan qadar dariNya ada signifikasinya walaupun sebagai manusia banyak keluhan2 yg keluar dari hati, pemikiran dan kalam ini. Tapi, aku sentiasa cuba mengembalikan diriku kepada FITRAH supaya aku tidak merasa sesal dan berburuk sangka kepadaNya akan segala yang berlaku. Aku turut percaya kepada hukum Karma, when people said " Whats goes around comes around". Mungkin hari ini nasib aku baik, masa ke depan mungkin ada ujian yang melanda dan mungkin hari ini aku dikianati, mungkin masa ke depan insan2 tersebut akan mendapat hidayah mahupun pembalasan yang selayaknya..

Kini, aku semakin dewasa, semakin bijak untuk memahami kenapa, mengapa dan bagaimana segalanya berlaku. Tapi, benar..sebagai manusia aku masih lagi tidak dapat mencari noktah kehidupan ini kerana yang pastinya segala yang bakal berlaku bukanlah kepakaran kita kerana hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Walaupun  Al-Quran memberi gambaran sebenar kehidupan bermula dari alam rahim hinggalah di akhirat kelak, tapi kita manusia sering alpa untuk mendalami pengertian tersebut melainkan inginkan sesuatu berlaku secara terangan. MUSTAHIL kan? Contohnya, siapa jodoh kita, bila ajal kita, andainya telah Allah zahirkan daripada awal, apalah ertinya kehidupan sebagai seorang mukallaf bilamana segalanya telah diberikan tanpa perlu untuk kita struggle mencari. Walhal, hidup didunia ini umpama SEBUAH KAPAL KARAM yang kita mungkin selaku LANUN perlu mengeksplorasi untuk mencari dimanakah letaknya HARTA KARUN yakni Akhirat sebagai destinasi utama setiap hamba Allah di muka bumi ini..tetapi ingat Allah sentiasa memudahkan kita bukanlah Dia membebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu. Sepertimana firman Allah:
maksudnya: "Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran". (al-Baqarah:185).

Firman Allah lagi:
maksudnya: "Allah (sentiasa ) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah". (an-Nisa': 28).

Bagi diriku tiada stu apa pun yang mutahil dalam hidup ini, jika kita sentiasa menyandarkan segalanya kepada Allah taala dan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w TAPI jangan pula hanya bertawakkal tanpa berusaha. Allah juga ada berfirman dalam Quran : " Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka". (ar-Rad:11). Well, dengan ketiga-tiga dalil naqli ini, aku bangun. Tidak hanya berserah akan segala musibah2 yang melanda, malahan terus kuatkan diri untuk maju setapak ke hadapan. Di sini tiada pula aku ceritakan berkenaan pengalaman hidup yang kurasakan begitu sukar, tidak mengapa Bak lagu Dato Siti "Biarlah Rahsia". Biarlah segalanya menjadi rahsia peribadiku kerana tiada apa lah sangat. Setiap manusia pasti ada kisah2 peribadi yang memberi kesan mendalam pada dirinya.

Aku baru sahaja mendaftarkan diri di USM bagi menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Pembangunan Pengurusan Islam (ISDEV), jika sebelum ini ku habiskan sisa2 kehidupan menuntut ilmu ijazah sarjana muda di UIAM dalam jurusan Psikologi dan minor dalam Ilmu Wahyu. Di mana sahaja institusi pengajian yang aku pilih, hanya satu matlamat akau iaitu ingin menuntut ilmu dan mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Kerana aku sedar Ilmu adalah tunjang kehidupan terutamanya sebagai seorang Muslim kerana dengan ilmu dapat membezakan samada kita orang a'lim atau orang jahil tapi bukanlah maksudku dengan hanya masuk universiti dah dikira cukup terpelajar. Salah, kerana ada orang belajar tinggi melangit pun masih jahil dalam agama, dan ada juga orang yang tidak belajar tinggi, tidak masuk universiti pun tapi MashaAllah kita boleh tengok dan rasa aura keilmuannya. Colume seterusnya kelak aku ku bingkiskan sedikit coretan kehidupan ketika di Uia dan juga Isdev kerana sungguh makin hari aku makin jatuh cinta akan tempat ini. Mudah-mudahan Allah sentiasa meenganugerahkan hidayah kepada aku untuk terus berjuang di medan ini.

Kalau ada yang membaca blog ini, maaf kiranya banyak lompongnya kerana aku baru beljar untuk menulis. Bukanlah impianku untuk menjadi seorang penulis kerana aku sedar aku tidak pakar dalam bidang ini, tetapi mendengar perkongsian pensyarah2 dan pelajar2 senior tentang kepentingan mengarang untuk menyampaikan dan berkongsi pengajaran bersama , jadi tidak salah kiranya kau mencuba dan aku sentiasa menharapkan tunjuk ajar anda semua.

Inshallah, bertemu lagi di lain colume dan doakan semoga aku terus berblogging untuk kemaslahatan bersama. Jazakallahukhairankathirah..